Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kelainan dalam selawat bersama Hijjaz

Muzik salah satu cara terbaik untuk berkongsi dan juga menyampaikan dakwah.

Ini dibuktikan dengan pelbagai lagu dengan pesanan serta ajaran positif yang pernah dipopularkan ramai artis tempatan dan juga antarabangsa.

Menggunakan kaedah sama, kumpulan nasyid popular Hijjaz hadir dengan lagu lama - yang pernah dipopularkan seniman agung P Ramlee, iaitu Tiada Kata Secantik Bahasa - dengan nafas baru untuk menyampaikan pesanan positif mengenai Nabi Muhammad.

Dengan lirik yang diubah dengan pujian terhadap Rasulullah, Tiada Kata Secantik Bahasa 2020 dinyanyikan bersama bintang program Mentor musim ketujuh, Pasya serta pasangan penyanyi hip hop Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Berkongsi proses pembikinannya, anggota Hijjaz, Isman, 51, berkata idea untuk membuat lagu berkenaan bermula dua tahun lalu sewaktu kumpulan tersebut menunaikan ibadah Umrah berada di Madinah.

“Terdetik di hati adakah peminat dapat menerima sekiranya lagu daripada P Ramlee itu diubah menjadi selawat Nabi S.A.W.

“Adakah peminat dapat menerima kombinasi tiga genre iaitu Rock, Nasyid dan Hip Hop,” katanya.

Idea untuk membuat lagu itu dirancang Isman dan Penasihat A&R Domestik Universal Music Malaysia, Hermond Cheng.

Lagu asal Tiada Kata Secantik Bahasa digubah P Ramlee dengan lirik oleh Jamil Sulong.

Bagi versi baru ini, liriknya dikarang oleh Hijjaz sendiri bersama-sama Kmy Kmo dan Luca.

Kmy Kmo dan Luca Sickta

Menurut pemilik nama penuh Isman Nadim Isam itu, selepas perbincangan dengan pihak Universal Music, cadangan berkenaan lagu itu akhirnya dapat diperkemaskan.

“Cadangan diperkemaskan dengan idea yang memberangsangkan. Daripada pihak MonkeyBone pula, idea ini diterima baik oleh artis yang memberi kerjasama positif.

“Dengan gabungan ini, diharap peminat di luar dapat menerima kelainan lagu itu dengan berselawat,” katanya lagi.

Sementara itu, Luca berkata muzik adalah universal dan tiada yang mustahil jika mencuba sesuatu kelainan.

“Asalkan mesej yang hendak disampaikan dapat mendapat tempat di hati,” katanya.