Sejuta pengikut saluran kartun, rupa-rupanya belajar dari Youtube saja
Muhammad Afiq Aiman Romli bukan saja gemar menonton filem animasi dan bermain permainan video, tetapi dia juga menghasilkan animasinya sendiri.
Afiq, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), mengorbankan masa rehatnya untuk menyiapkan satu-satu video.
Sejak bermula pada 2016, dia yang turut dikenali sebagai Afiq Aiman Cool (AAC) Dream, kini boleh menarik nafas lega selepas mengumpulkan lebih sejuta pengikut di Youtube.
Malah, satu karyanya Temple Run blazing sands in real life, yang meniru permainan video popular Temple Run di alam nyata, kini ditonton hampur 170 juta kali.
Mengimbau pengalamannya bermula Afiq berkata dia mula berkarya dengan menghasilkan suntingan video.
"Tahun demi tahun kandungan video saya berubah.
“Ketika saya berada di semester kedua dalam pengajian diploma, saya mula buat video animasi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.
Afiq berkata dia menghasilkan video animasi menjadikan platform YouTube untuk menunjukkan bakatnya.
Menariknya, ilmu bagaimana menghasilkan video animasi juga diperoleh dari laman perkongsian video itu.
"Saya belajar animasi dari YouTube dan terdorong nak cuba sesuatu yang baru.
"Dari situ saya mula kembangkan kemahiran menghasilkan video-video animasi," katanya.
Kini, untuk mempercepatkan proses, anak bongsu daripada empat adik-beradik yang berasal dari Kelantan itu turut mengambil seorang pekerja bagi membantunya.
Afiq berkata, dia melantik seorang kawan baiknya sebagai juruanimasi kerana proses untuk menghasilkan video animasi amat rumit.
"Saya pilih kawan sendiri sebab dia nak cuba maju dalam bidang animasi ini.
"Lagipun proses nak animate itu paling susah dan kalau saya seorang buat sakit sikit," ujarnya.
Dapat 2,000 sebulan
Ditanya tentang berapa pendapatan bulanan, Afiq berkata ia tidak tetap.
"Pendapatan saya ada naik turun. Dan saya boleh beritahu pada awalnya saya hanya raih RM600 ke RM1,000 sebulan.
"Gaji saya sekarang susah sikit nak cakap tapi secara ringkas saya boleh jamin bulan-bulan dapat RM2,000 ke atas," katanya.
Ditanya lagi tentang sebab mengapa dia masih mahu meneruskan pengajian di universiti walaupun sudah mempunyai pendapatan sendiri, Afiq berkata masih masih gusar dengan masa depan.
"Sebab pendapatan di YouTube ini tak tetap jadi saya tak nak terlalu fokus, nanti akan mendatangkan masalah pada diri saya.
"Saya takut nanti bila-bila masa boleh kena buang dari YouTube jadi saya tetap akan bekerja di industri atau studio," katanya lagi.
Dia mengakui hobi menghasilkan video animasi itu memerlukan modal besar kerana menggunakan peralatan teknikal yang mahal.
Bagi yang berkongsi minat, dia mengingatkan sesuatu kejayaan itu tidak datang dalam masa yang singkat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai