Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Apabila Iqbal sudah 'jatuh hati' pada buku

Novel Hujan Pagi oleh Sasterawan Negara A Samad Said menjadi pencetus kepada Mohd Niraimijar untuk mula berminat dan bercinta dengan buku.

Sejak itu dia - atau lebih dikenali sebagai Iqbal dalam kalangan peminat buku - menjadi pengumpul buku tegar.

Hujan Pagi membuka rasanya kepada tanggungjawab untuk melakukan sesuatu pada buku-buku yang ada padanya.

Bagi Iqbal semua buku itu merupakan khazanah mahal dan penting disimpan dengan baik untuk dijadikan tatapan genearasi masa depan.

Bermula pada 1995, kini koleksi buku yang ada dalam simpanan beliau berjumkah kira-kira 4,000 ke 5,000 naskhah dengan hasil karangan Pendeta Zaaba menjadi kumpulan buku yang paling disayangi.

Selain dari itu terdapat sebuah buku yang diterbitkan pada 1871 iaitu Hikayat Pancha Tanderan. Ia dikenal pasti sebagai buku paling langka ada dalam simpanan beliau.

Buku tersebut diterbitkan di Belanda dan turut diiringi dengan ulasan - juga dalam bahasa Belanda.

Berbeza daripada pengumpul buku yang menjadikan buku langka sebagai bahan niaga, Iqbal tidak mempunyai rancangan untuk menjual mana-mana naskhah yang ada dalam simpanan beliau.

Iqbal bertugas di Bahagian Pemprosesan Mel Pejabat Pos Besar Ipoh berkata, mencari dan mengumpul buku adalah kerja rumit. Tambahan pula kini telah ada pihak yang menjadikan buku langka sebagai komoditi.

Buku-buku langka dijual atau dibida dengan harga yang tidak masuk akal.

Maka mereka yang berminat hanya mencari untung daripada buku - terutama buku langka - ini dianggap merosakan pasaran.

Hal ini menyebabkan Iqbal terpaksa lebih berhati-hati mengumpul buku.

Beliau berbesar hati apabila koleksi bukunya digunakan oleh isteri dan sanak saudara sebagai bahan rujukan semasa mereka melanjutkan pelajaran.

Ini - pada beliau - adalah sumbangan kecil dalam menjadikan masyarat lebih celik untuk menghargai buku.