Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Demi zakat RM1 juta, bina masjid, Mawar enggan putus asa

Meskipun terpaksa membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga, pelakon Mawar Rashid nekad terus cekal memenuhi tuntutan tugasnya demi membolehkan impian membayar zakat RM1 juta tercapai.

Menurutnya, dia tidak boleh berhenti separuh jalan, perjuangannya itu harus diteruskan walau apa saja dugaan yang mendatang.

“Mawar tak boleh berhenti. Mawar wajib teruskan demi Big Y Mawar, demi keluarga, demi Mawarose Squad, demi pelanggan tersayang, demi nak bayar zakat satu juta.

“Demi nak bina masjid bersama-sama kalian semua,” katanya di Instagram.

Pemilik nama penuh Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid itu menjelaskan, peranannya sebagai usahawan dan selebriti pada masa sama sememangnya menghalang dia meluangkan masa secukupnya untuk anak-anak.

Kata Mawar, 25, ada kalanya situasi terpaksa ditempuhi itu menyebabkan dia hampir berputus asa.

“Kadang-kadang rasa nak putus asa sebab rindu anak @radenrafaelraf. Karier sebagai selebriti dan usahawan bukan mudah.

“Perlukan banyak masa untuk selesaikan rakaman video, rakaman secara langsung, perlukan banyak masa untuk mesyuarat perniagaan, kena perah otak, untuk keluarga, skuad mawarose, masa dengan suami OK lagi, sebab suami sentiasa menemani.

“Tapi Rafael ni, rindu, kadang-kadang dari pagi sampai malam tak dapat jumpa. Ni nak masuk anak kedua dah @mawarafjunior,” katanya.

 

Mawar dan suami, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau lebih dikenali Raf Yaakob mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017.

Melalui perkongsian hidup itu, pasangan berkenaan dikurniakan Rafael 13 Mac lalu. Terbaru, Mawar sedang hamil anak kedua yang usia kandungannya kini hampir memasuki lima bulan.

Raf pula mempunyai dua anak iaitu Rayyan, 8 dan Raysaa, 4, hasil perkahwinan terdahulu.

Mawar yang juga pelakon filem Bu, Kasih Suci itu turut menitipkan kata-kata semangat buat ibu bapa di luar sana yang berdepan situasi sama dengannya.

“Mawar faham ramai ibu bapa di luar sana terpaksa berkorban rindu pada anak-anak demi mencari rezeki dan demi membantu orang di luar sana sama macam Mawar, tapi yakinlah…

“Pengorbanan yang paling menyakitkan inilah yang akan mendatangkan hasil dan bekalan untuk akhirat nanti, saya bersama kamu. Berbahagialah dan teruskan.

“Kamu ibu yang baik, bapa yang hebat dan anak-anak berbangga dengan kamu. Mereka banyak belajar daripada kamu. Buktikan pada mereka. Kamu hebat,” katanya.