Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Doakan Allah terima taubatku - Aktres popular Bollywood

Selepas 15 tahun bergelumang dalam dunia hiburan, pelakon terkenal Bollywood, Sana Khan berkata dia ingin bertaubat dan mengabdikan dirinya kepada Yang Maha Esa.

Pelakon Jai Ho itu berkata demikian susulan kenyataan dia ingin bersara dari bidang lakonan baru-baru ini.

Aktres yang sinonim dengan imej seksi itu juga berkata, fokusnya kini adalah ingin membuat kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan.

“Sudah bertahun-tahun saya hidup dalam dunia hiburan dan bersyukur dengan setiap kemasyhuran, penghormatan dan kekayaan.

“Namun, sejak kebelakangan ini, saya tertanya-tanya, adakah kehadiran seorang hamba Allah di dunia ini hanya untuk mengejar kekayaan dan nama?

“Bukankah sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang memerlukan? Dan apa bakal terjadi selepas kematian saya?

“Justeru, mulai dari hari ini dan seterusnya, saya mengucapkan selamat tinggal pada dunia hiburan buat selama-lamanya dan akan menjalankan tugas-tugas kebajikan serta menurut perintah Sang Pencipta,” katanya.

Posting panjang lebar itu dimuat naik dalam versi bahasa Inggeris, Hindi dan Urdu melalui Instagram Sana.

Sepanjang bergelar pelakon, Sana pernah membintangi 14 buah filem dalam lima bahasa iaitu Hindi, Malayalam, Tamil, Kannada dan Telugu.

Dia yang juga model itu turut muncul dalam lebih 50 iklan komersial selain aktif sebagai penari.

Sana, 32, memohon pengikut-pengikutnya agar mendoakan kesejahteraannya untuk terus beristiqamah.

“Saudara dan saudari di luar sana diminta untuk mendoakan saya agar Allah dapat menerima taubatku selain memberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini mengikut perintah-Nya,” katanya.

Susulan tindakan drastik itu, Sana memadam hantaran dibuat di Instagram sebelum ini.

Dia kemudian hanya meninggalkan 99 hantaran saja yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan dunia hiburan.