Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jangan ambil mudah, Covid-19 belasah semua - Ashraf Muslim

Memandangkan jumlah pesakit kes Covid-19 semakin meningkat, pelakon Ashraf Muslim tampil menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah perihal wabak berkenaan.

Dia yang pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini berkata, wabak itu tidak pernah membezakan siapa mangsa yang dijangkiti, justeru setiap individu wajib mengelak daripada berkunjung ke lokasi ramai orang.

“Berhati-hati kawan. Nasihat AM (panggilan untuk Ashraf), berhati-hatilah dan jangan sambil lewa dengan Covid-19 ni. Mungkin korang (kalian) tak kena lagi, sebab tu ambil mudah je.

“Jangan pergi banyak tempat lepak dan tempat ramai orang. Covid-19 tidak mengenal kita siapa. Kamu kaya ke, miskin ke, Datuk ke Tan Sri, badan sado ke, kurung kering, ambil makanan tambahan hari-hari atau tak makan.

“Covid-19 ni belasah semua. Balik rumah cepat-cepat mandi, jangan ada sentuhan dengan keluarga. Mandi dulu, lepas tu nak buat apa, buatlah,” katanya di Instagram.

Pada 15 April lalu, pemilik nama penuh Muhd Ashraf Muslim itu mendedahkan di media sosial dia adalah mangsa Covid-19 selepas beberapa hari berdiam diri apabila diajukan soalan berkaitan wabak berkenaan.

Dia bersama 18 yang lain - termasuk pengarah, pelakon dan kru - berlepas ke Inverness, Scotland pada 9 Mac sebelum meningkatnya kes Covid-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Belajar erti reda, sabar

Ashraf pulang pada 31 Mac lalu selepas menjalani penggambaran drama 26 episod Demi untuk siaran RTM dan turut menjalani kuarantin kendiri selepas itu. 

Mengambil maklum situasi semasa masyarakat yang perlu bekerja untuk membaik pulih ekonomi masing-masing, Ashraf pada masa sama berkata, walau apa pun pekerjaan dilakukan, setiap orang bertanggungjawab menjaga prosedur operasi standard (SOP).

“Ya, memang lepas je PKP kita semua bersungguh-sungguh menaikkan ekonomi keluarga masing-masing tapi perlulah jaga SOP sebaik mungkin.

“Nak PKP balik ke? Kalaulah berlaku, payahlah kita semua. Banyak benda nak kena jaga dari segi komitmen masing-masing.

“Susah nak kerja dan susah perniagaan semakin merudum. Dengan keadaan sekarang, sama-samalah kita menjaga SOP dan kebersihan sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, sesiapa yang dijangkiti pula tidak wajar berasa lemah semangat kerana ada sebab musabab mengapa Allah memilih mereka untuk berdepan ujian tersebut.

“Ada sebab Allah pilih untuk kita jadi pesakit Covid-19. Belajar erti reda, sabar dan bersyukur dalam kuarantin di wad. Dekatkan diri dengan Allah.

“Imarahkan wad dengan Islam, insya-Allah anda akan tenang di sana serta dapat nikmat yang kita tak pernah dapat sebelum ni.

“Akhir sekali AM harapkan kita dapat menjalani hidup dengan norma baru ini dengan baik dan berdisiplin. Sayang Allah, sayang diri kita, sayang keluarga, dan sayang masyarakat sekeliling kita,” katanya.