Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penawar dinobat juara Anugerah Lagu Indie

Lagu Penawar yang dipopularkan band indie, Margosa diumum sebagai juara Anugerah Lagu Indie (#ALI2020) dalam acara yang melabuhkan tirainya semalam.

Ia sekaligus mengakhiri debaran siapa yang bakal membawa pulang gelaran itu dalam pertandingan yang menyaksikan 13 buah lagu indie berentap dari Spacerubix, Puchong.

Penawar juga berjaya menewaskan lagu Mesra nyanyian Nusarasa dan lagu Menunggu nyanyian Orkes A Hizadin dan Ainina Hasnul.

Selain itu, lagu dari Sekumpulan Orang Gila ft. Shila Amzah yang berjudul Pelukan Angkasa telah membolot kedua-dua Anugerah Lagu Popular dan Carta Indie Kita.

Anugerah Lagu Popular tersebut telah dipilih berdasarkan jumlah tontonan video terbanyak persembahan separuh akhir di Youtube Kamar Seni Studios.

Selain itu, #ALI2020 turut membariskan para juri profesional dalam industri muzik tanah air bagi menilai pertandingan tersebut, antaranya M. Nasir, AD Samad, Rudy Nastia, JD Wong (Pop Shuvit), Amir Jahari, Ham (Seven Collar T Shirt), Jennifer Thompson, Loy Ekzan.

Jelas salah seorang juri, Loy Ekzan, penilaian pemenang bukan hanya berdasarkan populariti tetapi juga kualiti lagu tersebut.

“Anugerah Lagu Indie bukanlah anugerah lagu berdasarkan populariti, sebaliknya kualiti adalah kriteria utama yang dinilai. Walau bagaimanapun, #ALI2020 juga memperkenalkan Anugerah Lagu Popular dan Carta Indie Kita sebagai anugerah sampingan,” jelasnya.