Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mula suka-suka, komik Erica Eng kini di persada dunia

Siapa sangka minat terhadap lukisan semenjak berusia dua tahun lagi, kini telah membuahkan hasil bagi Erica Eng Hui Qing, yang menerima anugerah tertinggi bagi pelukis komik dan kartun, ‘Eisner Best Webcomic, The Will Eisner Comic Industry Award’, Julai lepas.

Komik dalam talian berjudul ‘Fried Rice’ karya anak jati Batu Pahat itu berjaya memahatkan namanya sebagai penerima anugerah berprestij tersebut sekali gus menjadi penerima kedua dari Malaysia pada majlis anugerah tahunan yang menjadi buruan para penggiat seni lukis, yang disifatkan setanding dengan Anugerah Oscar yang diterima pengkarya filem.

Wanita Malaysia pertama yang mendapat pencalonan Eisner ialah Reimena Yee pada 2018 untuk novel grafiknya, ‘The Carpet Merchant of Konstantiniyya’.

Eng, 22, berkata dia mula melukis komik mengisahkan tentang gadis berusia 20-an bernama ‘Min’ yang mahu mengejar cita-citanya menjadi juruanimasi filem sejak Mei tahun lalu.

Komik 57 halaman itu tersenarai sebagai antara calon untuk Anugerah Eisner pada bulan Mac tahun ini dan dimaklumkan sebagai pemenang pada 25 Julai lepas.

“Saya tidak menyangka terpilih menjadi pemenang anugerah berkenaan kerana saya perlu bersaing dengan lebih kurang 1,800 pelukis lain di seluruh dunia,” kata gadis itu ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Eng yang kini melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Academy of Art, San Francisco, di Amerika Syarikat, berkata pada mulanya, dia melukis komik hanyalah suka-suka sahaja.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata beliau menggunakan pensel dan dakwat walnut untuk menghasilkan komiknya, yang boleh dilayari di laman sesawang friedricecomic.com.

“Selain ibu bapa yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya, saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada guru lukisan saya, Cikgu Hashim Ismail kerana dia yang membimbing saya untuk menjadi pelukis yang berjaya sehingga sekarang,” katanya.

Selain Anugerah Eisner, beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah lain melalui lukisan komiknya, antaranya Asean Short Films Awards - 29th FLiCKERFEST (2020); TAO Hall of Fame - Illustration story boarding (2020); Excellent Works Asiagraph Tokyo (2019) dan DELL Visions of the Future - DELL Short Film Award (2017).

Eng berkata dia kini berkongsi minat melukis komik bersama adiknya Nathaniel Eng Shu Liang, 15, dan sering menghabiskan masa bersama untuk berbincang menghasilkan beberapa komik lain yang diterbitkan secara dalam talian.

Bagaimanapun, buat masa ini dia akan menghasilkan komik bersiri untuk Min yang menceritakan kesinambungan watak berkenaan setelah Min berjaya mengejar cita-citanya.

“Kini kisah Min telah berjaya saya siapkan sebanyak 57 muka surat dan merancang untuk menyambung siri berkenaan serta hasilkan sekitar 200 hingga 300 muka surat lagi.

“Ia mungkin akan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun lagi untuk disiapkan kerana ia memerlukan beberapa peringkat penghasilan seperti melukis, mewarna, scan serta mengedit dalam komputer dan memasukkan dialog.

“Diharapkan selepas ini, hasil karya saya ini akan terus mendapat sokongan pelbagai pihak dan yang paling penting sekali ia dihasilkan khas untuk rakyat Malaysia,” katanya.

- Bernama