Mengapa Yuko Takeuchi bunuh diri?
Kematian mengejut aktres Jepun Yuko Takeuchi dalam insiden bunuh diri Ahad lalu terus menjadi misteri dan meninggalkan tanda tanya kepada peminat dan industri hiburan.
Yuko, 40, dipercayai meragut nyawanya sendiri ketika kerjayanya berada di kemuncak selepas dua dekad membuat kemunculan dalam filem, drama televisyen dan iklan komersial.
Yuko adalah selebriti terkenal Jepun yang terbaru menamatkan hidup sendiri selepas kes sebelum ini membabitkan Miura Haruma dan Ashina Sei.
Nama Yuko dalam industri hiburan bukan suatu yang asing, justeru kematiannya memberi kejutan buat peminat terutama di negara matahari terbit itu.
Selepas menempa kejayaan pada 1999 sebagai pelakon remaja melalui drama NHK berjudul Asuka, nama Yuko terus menjadi perhatian dalam industri.
Kerjaya Yuko bermula dengan model penghiasi poster dan muka depan majalah sehinggalah iklan minuman keras.
“Saya benar-benar terkejut. Saya suka penampilan dan persembahannya yang mengasyikkan.
"Dia merupakan imej seorang Yamato Nadeshiko (istilah untuk seorang wanita yang memaparkan ciri-ciri tradisional kewanitaan Jepun)," kata seorang peminat dalam ruangan berita TV Asahi.
Kaku dalam pangsapuri
Yuko dikenali seorang pelakon yang bersikap profesional. Apabila hadir di set penggambaran, dia bertekad untuk menjayakan lakonannya tanpa melakukan kesilapan.
Dia juga disifatkan sebagai seorang yang penyayang.
Selain Asuka, Yuko turut muncul dalam Sanada Maru, drama bersejarah yang disiarkan pada 2016. Dia turut membawa watak Sherlock Holmes versi wanita menerusi drama bersiri HBO, Miss Sherlock yang ditayangkan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat pada 2018.
Yuko pernah diangkat sebagai aktres terbaik Anugerah Akademi Jepun selama tiga tahun berturut-turut mulai 2004.
Di hujung hayatnya aktres itu dipercayai tidak mempunyai masalah dalam perkahwinannya yang kedua dengan seorang aktor, Nakabayashi Taiki, 35.
Taiki menemui mayat Yuko dalam pangsapuri mereka di Tokyo Ahad lalu, lapor Variety.
Yuko yang terkenal melalui filem seram Ringu - kemudian diadaptasi Hollywood sebagai The Ring - mempunyai anak lelaki daripada perkahwinan pertamanya.
Dia juga melahirkan bayi lelaki pada Januari lalu.
Dalam wawancara dengan sebuah majalah wanita dan disiarkan Oktober tahun lalu, Yuko berkata: “Sekarang usia saya 40 tahun, dan tiada hasrat untuk menoleh ke belakang.”
Tiada nota terakhir
Dia juga berkata, semua beban masalah yang ditanggungnya sebelum ini seolah-olah hilang dan berasa lebih lega.
Yuko juga ditanya bagaimana perasaannya apabila perlu meluangkan lebih masa untuk keluarga ekoran Covid-19.
“Meluangkan masa yang banyak untuk keluarga membuatkan saya ada ruang untuk menilai semula kehidupan saya dengan lebih mendalam.
"Pada usia 40-an, saya ingin bergembira dengan keluarga walaupun bekerja," katanya.
Bagaimanapun, apa yang keluar dari mulut seorang yang penyayang, dihormati dan berjaya seperti Yuko tidak menjawab persoalan mengapa dia sanggup membunuh diri.
Taiki memberitahu media dia tidak dapat memikirkan sebarang jawapan mengapa isterinya itu bertindak mengakhiri nyawa sendiri.
“Dia nampak biasa seperti selalu,” katanya.
Namun, ada spekulasi menyatakan Yuko mengalami kemurungan selepas bersalin, selain tekanan terhadap industri hiburan Jepun dan kurangnya sokongan terhadap isu kesihatan mental sebagai kemungkinan yang menyumbang kepada perbuatan bunuh diri Yuko.
Tiada satu alasan di atas setakat ini disahkan penyiasat dan Yuko juga tidak meninggalkan sebarang nota bunuh diri menyebabkan perbuatannya kekal misteri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai