Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | September dan kisah-kisah lucu pesta filem

Sept mengingatkan kita tentang sekian banyak hal. Selain malapetaka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di AS 19 tahun lalu yang menggemparkan seluruh dunia, negara kita juga menyimpan sejarah yang menarik tentang bulan ini.

Sept bukan saja bulan yang akan kita kenang dengan acara-acara sambutan bulan Kebangsaan yang diisi dengan program seperti mengingat Rukun Negara dan seruan mengibar-ngibarkan Jalur Gemilang.

Bukan kesembilan saban tahun ini juga diingat dengan keraian orang politik berpesta.

Justeru, tidak akan ada siapa yang akan bertanya tentang kerja keras guru-guru di seluruh negara mempersiapkan acara sambutan bulan kebangsaan di sekolah masing-masing walau dalam keadaan serba sederhana memandangkan Covid-19 masih mengancam.

Dek kerana itu tiada siapa akan peduli tentang bagaimana meriah dan suramnya kemuncak bulan kebangsaan pada Sept tahun ini disambut oleh anak-anak kita di sekolah seluruh negara.

Akhirnya Sept pada waktu wabak mencengkam begini menjadi milik orang politik juga. Biarlah lebih ramai rakyat kehilangan kerja kerana dalam kalangan ahli politik, 'kerja' mereka lebih banyak,

Biarlah kes Covid-19 mencanak-canak naik menyeramkan kita, tetap juga akan ada lebih banyak pesta pilihan raya dan lebihan-lebihan kuasa untuk dibahagi-bahagikan di sini sana.

Tiada yang layak menang

Takkan habis tenaga orang politik berpesta politik dan berparti kuasa di sini sana sejak awal tahun ini. Tidak cukup berseronok mabuk dalam pesta pilihan raya mereka malah melompat-lompat seumpama katak gila menari dalam parti-parti liar.

Dan ia langsung tidak menguntungkan rakyat jelata.

Entah barangkali benar juga kata Pak Tik Taki pada Uddin, seorang pemuda yang bercita-cita menjadi pelakon filem yang kini terbiar tanpa ada rumah, ada gaji dan kerja sejak Covid-19 melanda.

Kata Pak Cik Taki pada Uddin, semua yang berlaku ini hanyalah angkara 'Sindrom September'.

Uddin hanya diam ternganga. Badannya makin kering dan kurus akibat tidak cukup zat dan makanan. Dah nak masuk tujuh bulan Uddin kehilangan pekerjaan kerana restoran hipster tempat dia bekerja di Putrajaya menghentikan operasi.

Namun jawapan Uddin pada Pak Cik Taki apabila ditanya apa yang dia kenang tentang bulan Sept lebih mengundang perhatian.

“Tiada filem terbaik menang di Festival Filem Malaysia!” jawab Uddin.

Uddin cuba menggambarkan betapa lucunya peristiwa yang pernah berlaku pada Sept 1989 di Festival Filem Malaysia ke-8 itu. Tiada filem yang layak memenangi anugerah filem terbaik walau filem Oh Fatimah mengondol banyak kategori utama.

“Satu lagi adalah apabila Festival Filem Malaysia ada Anugerah Filem Terbaik dan ada Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan. Lucukan? Padahal semua filem yang dipertandingkan adalah filem Malaysia.”

Pak Cik Taki ternganga lama sebelum dia menutup mulut dan berkata: “Itu ngeri, bukan lucu. Tapi kenapa?”

“Semuanya gara-gara filem Jagat, sebuah filem Tamil tempatan yang power," jawab Uddin penuh bangga.

Peristiwa itu berlaku pada Sept 2016 dan kelucuannya lebih berat. Suasana kesuraman biasa festival filem Malaysia yang masuk kali ke-28 tiba-tiba jadi hangat. Ia hingga mengundang sekian banyak kemarahan komuniti filem dan perhatian masyarakat apabila penganjur mengasingkan filem bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu.

Mabuk orang politik

Hal itu membuatkan Mohd Noor Kassim - seorang senimatografer terkemuka negara yang turut tercalon dalam acara anugerah itu - memprotes keras.

Mohd Noor bukan saja membuat keputusan menarik diri daripada pencalonannya, dia menyerahkan semula dua trofi yang pernah dimenanginya dulu melalui bungkusan plastik sampah.

Semua itu berlaku beberapa hari sebelum malam Festival Filem Malaysia ke-28 berlangsung. Namun penganjur tetap menyenaraikan nama Mohd Noor sebagai calon penerima anugerah juga.

“Memang dasar tak reti hormat sikap dan pendirian sesama manusia,” kata Uddin kepada Pak Cik Taki sambil menggeleng kepala.

“Habis tu siapa yang menang?” tanya Pak Cik Taki.

“Festival Filem Malaysia ke-28 itu sudahnya dimenangi filem Jagat sebagai filem terbaik. Sementara filem Munafik menang Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan.”

Pak Cik Taki bantai gelak sekuat hati. Ternyata dia sendiri enggan jadi munafik.

Baru-baru ini - juga berlaku pada Sept - ada orang politik yang sibuk meletakkan anugerah filem Amerika, iaitu Oscar dalam pelan strategi Finas. Kononnya sebagai rencana bagi mengantarabangsakan filem negara ke mata dunia.

“Mabuk orang politik memang selalu dibawa sampai ke luar pesta pilihan raya. Imaginasi mereka memang lebih liar berbanding parti-parti liar,” kata Uddin kepada Pak Cik Taki yang masih sukar nak menghentikan ketawanya.

Entah apa signifikan faedah dan rasional manfaat Road to Oscar Finas kepada industri filem kita. Bukankah lebih baik Finas menghulukan bantuan memperbaiki dan menaik taraf Festival Filem Malaysia yang ada?

Usahakan agar mungkin pada satu ketika ia dihormati kerana setaraf dengan Festival Filem Antarabangsa Busan, Hong Kong atau Tokyo.

Paling tidak cubalah Finas betulkan festival filem Malaysia agar ia tidak jadi parti memperagakan permaidani merah dan pesta malam anugerah semata-mata.

Filem adalah seni yang membawa bersamanya ilmu dan intelektualisme. Bukan hanya misi menyerahkan duit kepada pembikin untuk buat filem ke Oscar secara membuta tuli.

“Kenapa kau tak jadi pelakon saja?” tanya Pak Cik Taki kepada Uddin.

“Sebab media sosial saya tak cukup follower,” balas Uddin selamba.


HARIS HAUZAH ialah lelaki yang mencintai Hawa lebih daripada Sara Ali.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.