Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Balu Abam dah ada kedai lepas berniaga kecil-kecilan

Berkat kesabaran, balu Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali berkata, dia kini sudah memiliki sebuah kedai selepas mengusahakan jualan cempedak goreng secara kecil-kecilan.

Hidayah berkongsi berita gembira itu melalui akaun Instagram miliknya hari ini.

“Alhamdulullah, hari Jumaat yang penuh barokah ini, syukur pada Allah berkat kesabaran, titik peluh berniaga kecil-kecilan cempedak goreng, Dayah mampu memiliki kedai yang tak seberapa ni,” katanya.

Hidayah, 28, memulakan perniagaan cempedak goreng sejak April lalu di sebuah gerai tepi jalan di Sabak Bernam, Selangor secara kecil-kecilan.

Dia mula menjalankan aktiviti perniagaan tersebut demi mencari rezeki halal bagi membesarkan anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun tiga bulan.

Hidayah dan Allahyarham Abam berkahwin pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam.

Abam atau nama penuhnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia pada 10 Februari lalu akibat demam panas.

Sementara itu, Hidayah turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantunya untuk mendapatkan kedai berkenaan.

“Terima kasih abang Dayah @sirazmier bantu untuk dapatkan kedai ni, terima kasih mak, abah dan keluarga tercinta yang sentiasa doakan serta memberikan sokongan.

“Terima juga Majlis Daerah Sabak Bernam yang meluluskan permohonan kedai No.19 dengan cepat pada 2 Ogos tahun ini.

"Alhamdulillah syukur,” katanya yang turut memuat naik tanda pagar #comingsoonopeningshop.