29 kartunis 'bersuara' isu kesan Covid-19 pada kebebasan bersuara
Sekumpulan kartunis akan melangsungkan pameran kartun digital berkaitan Covid-19 antara 16 hingga 23 Sept ini depan dengan tema Impak Covid Terhadap Kebebasan Bersuara.
Zulkiflee SM Anwar Ulhaque - atau lebih dikenali sebagai Zunar - berkata pameran itu menampilkan 29 kartunis dan 116 karya seni, serta dihoskan laman sesawang Galeri Craftora.
"Pada 16 Sept jam 12 tengah malam, Galeri Craftora akan mengadakan pameran kartun dalam talian bertemakan Impak Covid Terhadap Kebebasan Bersuara.
"Beberapa aktiviti lain turut dirancang termasuk acara melukis secara langsung, lukisan karikatur, bengkel melukis kartun dan forum yang dijalankan pada hari berbeza.
"Pameran itu hasil kerjasama Craftora, Zunar, Malaysia Reform Initiative (Mari), Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), Kedutaan AS dan Persatuan Pendidikan Hujjah Ehsan," katanya.
Menurut Zunar, pameran tersebut akan menekankan kepentingan hak kebebasan menyatakan pendapat.
"Pameran ini menekankan kepentingan hak kebebasan berekspresi apabila pelukis meluahkan pandangan, komen, protes dan pandangan mereka mengenai isu ini melalui karya-karya seni dengan keperbagaian teknik.
"Apakah Covid memberi kesan kepada kebebasan bersuara? Semua akan terjawab dalam lukisan-lukisan yang dipamerkan," katanya.
Tambah Zunar, ia juga merupakan pameran digital pertama di Malaysia.
Untuk menjayakan pameran tersebut, katanya, sebuah bangunan seni direka dan dibina khas secara maya.
Antara kartunis yang terbabit dalam pameran berkenaan ialan penyumbang Malaysiakini, Amin Landak; pelukis kartun senior, Rossem; Jonos, Megat, Haili, Gandum, dan Susan Loone.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai