Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Remaja lelaki bercumbu dengan anak Nora mohon maaf

Remaja lelaki yang dikaitkan dengan video bercumbu dengan anak perempuan penyanyi terkenal Nora Ariffin,  tampil memohon maaf.

“Assalamualaikum. Saya [...] yang baru-baru ini viral ingin memohon maaf terutamanya kepada seluruh ahli keluarga Puan Nora dan juga ahli keluarga saya. Saya juga bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku kepada anak Puan Nora [...] untuk (sehingga) dijadikan viral.

“Saya juga amat menyesali apa yang telah saya lakukan terhadapnya. Saya ingin meminta jasa baik netizen untuk meghentikan penularan video tersebut.

“Akhir kata dari saya, saya ingin memohon maaf atas penularan video tersebut,” katanya dalam video berdurasi seminit yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Video bercumbu berkenaan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, memaparkan anak perempuan Nora dan seorang remaja lelaki dilihat berciuman.

Nora, 47, kelmarin mengakui gadis dalam video itu merupakan anak perempuannya, dan meluahkan rasa terkilan dengan kejadian itu.

Namun, dia berharap anak perempuannya itu dapat belajar daripada kesilapan berkenaan dan meminta orang ramai memberikan ruang buat mereka untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Anak perempuan Nora turut mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu. Dakwanya, aksi mencolok mata itu dilakukan tanpa rela.

"Saya dipaksa. Dalam video itu pun boleh nampak saya ke belakang dan cuba mengelak. Selepas ia berlaku saya duduk diam kerana saya malu dan tak tahu nak buat apa.

"Saya tak sanggup nak tumbuk dia, tapi saya marah dia selepas video itu dan kami sudah putus," jelasnya menerusi Twitter.

'Nora maafkan semua orang'

Semalam pula, anak sulung Nora, Mohd Syakir Iman Johan, 27 berkata mahu membawa individu yang menyebarkan video berkenaan ke muka pengadilan, dengan menyifatkan tindakannya memuat naik video itu berkali-kali di Twitter sebagai melampau.

“Sebab bukan sekali awak 'post' video ini. Memang berniat untuk memburukkan lagi keadaan ya?

"Perkara ini sudah berubah menjadi lebih serius. Insya-Allah petang ini (petang semalam) kami akan bersemuka dengan keluarga remaja lelaki itu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dia turut meminta orang ramai tidak menyebarkan video berkenaan dan mendoakan mereka semua.

Dalam perkembangan terbaru, Nora di Instagramnya hari ini menyatakan yang dia sudah pun memaafkan semua orang dan telah menghukum anak perempuannya mengikut hukum agama.

“Assalamualaikum. Saya sudah mendengar semua pengakuan. Saya juga sudah memaafkan semua orang. Saya juga sudah menghukum anak saya mengikut hukum agama .

“Biarlah dia bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Buat masa ni, saya hanya berserah pada Allah SWT.

“Moga menjadi pengajaran dan iktibar buat semua,” katanya lagi.