Fendy Caliph Buskers cari suri teladan
Pemain drum Caliph Buskers, Fendy Adlun mengaku kini sudah bersedia untuk berkongsi hidup dengan kehadiran pasangan baru sekiranya ditakdirkan berjumpa pilihan hati suatu hari nanti.
Kata Fendy, selain itu, niatnya antara lain adalah demi mencari suri teladan buat anaknya, Nurazalea Zafirah yang kini berusia lima tahun.
“Saya seorang yang dah pernah berkahwin, justeru, ciri-ciri penting yang ingin saya lihat pada wanita tersebut adalah dia dapat menerima dan melayan anak saya dengan ikhlas.
“Jika dia OK dan selesa, kita ON saja,” katanya berseloroh ketika dihubungi Malaysiakini.
Pada 27 Januari lalu, Fendy, mendedahkan dia sudah berpisah dengan Nur Nadira Rubiana - pemain perkusi Caliph Buskers - kira-kira dua tahun lalu.
Pasangan tersebut berkahwin pada 3 Mei 2014 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan Nurazalea.
Menurut Fendy, sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, dia tidak terlalu memilih dalam soal jodoh, namun amat bersyukur sekiranya dikurniakan pasangan yang celik.
“Jika ada rezeki, sudah semestinya wanita yang celik, bukan apa, saya ingin dia mewarnai hidup saya dan anak.
“Saya juga mempunyai hobi suka berjalan-jalan, melawat tempat baru. Sebelum ni pernah berjalan-jalan ke Singapura bersama dua rakan OKU yang lain.
“Kami sama-sama tak nampak, sesat pun sama-sama, ada keterbatasan di situ, tapi apa lagi boleh buat, kenalah beranikan diri,” katanya.
Bagaimanapun, Fendy yang juga penyanyi itu mengulas, hubungannya dengan bekas isteri tetap baik, mereka masih lagi bersatu sebagai sebuah kumpulan.
Katanya, timbul cakap-cakap belakang bahawa dia masih mengharapkan cinta Nur Nadira melalui luahannya dalam single terbaru, iaitu Mengharapkan Mu.
Namun, Fendy menafikan kisah di sebalik single ketiganya itu seolah-olah ditujukan buat Nur Nadira seperti didakwa sesetengah pihak.
“Single ni sebenarnya menceritakan kisah bagaimana saya jatuh hati pada seseorang. Kejadian tu berlaku tahun lalu. Tak ada kena mengena dengan bekas isteri.
“Sudah jelas video muzik memaparkan bagaimana bermulanya saya jatuh hati pada seseorang, namun ia bukanlah cubaan saya untuk merapati bekas isteri seperti didakwa.
“Wanita tersebut mungkin sudah pun bahagia sekarang, dia hadir pada waktu yang tidak bersesuaian, saya anggap tiada jodoh dengannya dan lagu ni hadir sebagai pengibur hati,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai