Larry King hiba kebumikan dua anak selang beberapa minggu
Personaliti televisyen berpengaruh AS, Larry King pernah mengalami pelbagai detik hitam dalam kehidupannya seperti hampir maut akibat serangan jantung, melakukan pembedahan untuk memasukkan stent dan lapan kali melalui proses perceraian.
Namun, pengalaman paling menyayat hati buat Larry berlaku pada musim panas ini apabila dia perlu berdepan dengan kehilangan dua daripada lima anaknya dalam tempoh selang beberapa minggu.
Andy King, 65, meninggal dunia pada 28 Julai, dan Chaia King pergi buat selama-lamanya sekitar tiga minggu kemudian, pada 20 Ogos, pada usia 51 tahun.
“Dengan dukacita dan hiba saya mengesahkan kehilangan dua anak baru-baru ini iaitu Andy King dan Chaia King.
“Kedua-dua mereka memiliki jiwa yang baik dan akan dirindui,” katanya dipetik New York Daily News.
Laporan mengenai kematian Andy dan Chaia bocor kepada umum, namun ini adalah kali pertama King mengumumkan berita kehilangan dan punca kematian kedua-dua anaknya itu.
“Andy meninggal dunia tanpa disangka-sangka selepas mengalami serangan jantung pada 28 Julai lalu manakala Chaia pada 20 Ogos selepas didiagnos mengidap kanser paru-paru.
“Segala-gala jadi tak menentu selepas kehilangan mereka. Tiada ibu bapa yang patut mengebumikan anak-anak mereka,” katanya.
King memelihara Andy sebagai anak angkat selepas berkahwin dengan ibunya, Aleen Akins pada 1961. Dan sekali lagi selepas berpisah pada 1963, ketika kembali merujuk isterinya itu, Alene, pasangan itu dikurniakan Chaia.
Pada 1997, King dan Chaia berkongsi luahan perasaan berhubung perceraian dalam buku yang ditulis bersama berjudul Daddy Day, Daughter Day. Alen meninggal dunia pada 2017.
King merupakan hos bual bicara bagi program televisyen Larry King Now yang diasaskannya pada 2012.
Dia juga terkenal melalui Larry King Live yang dihoskan sejak 1985 hingga 2010, yang bersiaran secara langsung melalui CNN.
King mengakhiri kenyataannya dengan meminta diberikan ruang untuk privasi.
“Saya dan seluruh keluarga berterima kasih dengan ucapan dan sokongan anda. Pada ketika ini kami memohon privasi untuk berdukacita,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai