Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pertemuan Aamir Khan, isteri Erdogan cetus bantahan

Kunjungan pengarah dan pelakon terkenal Bollywood Aamir Khan dengan isteri Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Ermine dua hari lalu mencetuskan polemik politik berpanjangan antara dua negara di Twitter.

Pertemuan tersebut mengundang perhatian segelintir rakyat India selepas Ermine memuat naik siri ciapan mengandungi imej pertemuannya dengan Aamir melalui Twitter pada 16 Ogos lalu.

“Saya sangat gembira dapat bertemu @aamir_khan, pelakon, pembikin filem, dan pengarah India yang terkenal di dunia, di Istanbul.

“Saya gembira mengetahui Aamir mengambil keputusan untuk mengakhiri penggambaran filem terbarunya Laal Singh Chaddha di beberapa tempat di Turki. Saya menantikan filem itu,” ciapnya.

Ketika ini, hubungan Recep Tayyip Erdogan dengan India agak tegang susulan kenyataan anti-India dibuat presiden Turki itu hingga mempengaruhi hibungan diplomatik kedua-dua negara.

Aamir tidak membabitkan diri dalam politik, namun kehadirannya di Turki bertujuan untuk membuat tinjauan berhubung Laal Singh Chaddha - sebuah versi baru filem (remake) Forrest Gum, karya terkenal arahan Tom Hank.

India Today melaporkan, Aamir dijangka memulakan penggambaran Laal Singh di Turki pada Oktober depan.

Namun, kunjungan tersebut tidak ‘direstui’ segelintir rakyat India hingga ada di antara mereka menggesa Laal Singh Chadda diboikot sebaik menjengah pawagam nanti.

“Hmm ini membimbangkan dari banyak sudut, untuk India @aamir khan bukan sekadar seorang aktor, dia membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti dalam negara ni, dia juga ikon yang besar tapi apa berlaku menunjukkan dia seorang hipokrit dan perlu tampil dengan penjelasan segera,” ciap pengguna akaun @Kangana Team.

Kontroversi membabitkan nama pelakon Madness in the Desert itu bukan perkara baru, dia sebelum ini pernah mengundang perhatian ramai apabila enggan bertemu Benjamin Netanyanhu sewaktu perdana menteri Israel itu berkunjung ke India pada 2018.

Bagaimanapun, bukan Aamir saja pernah berbuat demikian, dua lagi Khan, iaitu Shah Rukh dan Salman turut ‘membuat kenyataan’ sama secara tidak langsung apabila mereka tidak muncul di sebuah majlis yang diadakan sempena menghormati Netanyahu.

Majlis tersebut sebaliknya dihadiri Perdana Menteri India, Narendra Modi dan barisan selebriti terkenal Bollywood seperti Abhishek Bachchan, Aishwarya Rai, Vivdek Oberoi dan Karan Johar.

Pada 2017, Aamir bertemu Erdogan di Kompleks Presiden di Ankara bagi tujuan mempromosi filemnya Secret Superstar. Namun, setiap kali dilanda polemik politik, imej dia bersalaman dengan pemimpin berkenaan akan muncul di Twitter.

Aamir juga pernah menerima kritikan selepas membuat kenyataan bahawa dia bimbang membesarkan anaknya di India pada 2015.

“Apabila berbincang dengan Kiran (isteri) di rumah, dia berkata, perlukah kami berpindah keluar dari India? Itu adalah sesuatu yang besar untuk dinyatakan oleh Kiran.

“Dia takut keselamatan anak-anak dan atmosfera di sekeliling kami. Dia juga takut untuk membaca surat khabar setiap hari. Ini menunjukkan ada perasaan membimbangkan.

“Kamu rasa mengapa hal ini berlaku, sebab kamu rasa rendah diri. Perasaan itu wujud dalam diri saya,” katanya.