Alina dah boleh berteduh di rumah PPR
Khabar baik buat Alina Hassan, juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 selepas sekian lama dia menghuni hanya bilik kecil sebagai tempat berteduh.
Baru-baru ini dia dimaklumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bahawa permohonannya untuk menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan.
Dia yang turut pernah melakar nama sebagai pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 itu berkata, dia mendapat panggilan daripada suatu nombor tetapi tak sempat dijawab.
Apabila Alina menghubungi semula nombor berkenaan, tiada pula sesiapa yang menjawab.
Akhirnya dia membuat keputusan untuk terus pergi ke Ibu Pejabat DBKL.
“Dalam perjalanan, penyanyi Safura menghubungi saya dan meminta saya terus naik ke tingkat 34. Saya ikut kata-katanya kerana terlalu gembira,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dia kemudian diberikan surat tawaran sewa rumah PPR DBKL Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur dengan kadar bayaran RM124 sebulan.
“Saya diminta mengisi borang dan butiran yang diperlukan. Perasaan bercampur baur gembira dan sebak kerana impian untuk tinggal di rumah sewa menjadi kenyataan.
“Sudah tentu saya dapat meluangkan masa bersama anak-anak di sini. Paling utama, saya dapat ambil anak kedua, Mohd Alif yang menghidap autisme untuk tinggal bersama," katanya.
Bakal terbit lagu baru
Penyanyi Gelombang itu dijangka berpindah masuk ke rumah sewa berkenaan pada 15 Ogos ini.
Nama Alina mengundang perhatian ramai selepas dia dilaporkan menyewa sebuah bilik kecil dalam rumah kedai sejak dua tahun lalu.
Alina yang turut terkenal melalui lagu Dingin itu juga tidak mempunyai pekerjaan tetap. Dia menyara diri dengan sesekali menyanyi serta mengambil upah sebagai pencuci rumah sambilan.
Penyanyi veteran itu sudah lama memohon rumah DBKL tetapi perlu menunggu giliran untuk mendapatkannya.
Kisah dipaparkan menarik perhatian beberapa pihak yang ingin tampil menghulurkan bantuan antaranya Baitulma Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat.
Dalam perkembangan terbaru, Alina akan terbabit menjayakan Proram Makam Malam Bersama Wanita Ampang di Ambang Kemerdekaan pada 22 Ogos ini.
Persembahan anjuran Wanita Ampang Prihatin dengan kerjasama Konsortium Irama itu dijangka berlangsung pada jam 7.30 malam di Hotel De Palma, Ampang.
Dia juga bakal merakamkan single terbaru terbitan Loonaq Records/ Padi Records dalam masa terdekat ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai