Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Balu Jim Madasamy terharu impian album blues Tamil suami termakbul

“Saya pasti suami gembira kerana ini adalah impiannya,” kata Soo Leok Weng, balu pemain bass Blues Gang, Jim Madasamy, berhubung penghasilan album irama blues dalam bahasa Tamil.

Soo berkata, pada awalnya dia tidak menyangka keinginan suaminya - yang memasang harapan besar sepanjang hayat - untuk mengkomersialkan muzik blues kepada masyarakat India akhirnya terlaksana.

Ia menjadi kenyataan selepas laluan berkenaan dirintis oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez.

“Semua berlaku kira-kira dua minggu lalu, Freddie datang ke rumah saya dan minta gambar-gambar suami untuk projek album berkenaan.

“Secara jujur, saya memang amat terkejut kerana suami sendiri tak sempat merealisasikan impiannya ketika dia hidup,” katanya.

Soo ditemui pada majlis pelancaran album dan Tabung Prihatin Artis Jim Madasamy di Panggung Eksperimental Aswara Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur semalam.

Album berjudul Solla Vanthein yang memuatkan 10 lagu dan Tabung Prihatin Artis Jim Madasamy itu dilancarkan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique; Freddie dan Pengarah Pengurusan Syarikat Amalan Setar (M) Sdn Bhd (Amalan Setar), Rajendran Ramasamy.

Bantu artis uzur, memerlukan

Pada majlis sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut menyalurkan bantuan berjumlah RM668,000 kepada 243 badan bukan kerajaan dalam bidang kesenian serta kebudayaan bagi memastikan industri itu terus diperkasa.

Jim meninggal dunia akibat kegagalan jantung ketika menunggang basikal di sekitar kawasan rumahnya di Kampung Batu pada 16 April 2018.

Mendiang berpendapat muzik blues perlu di komersialkan kepada masyarakat India memandangkan mesej terkandung dalam lirik sentiasa berkait rapat dengan kehidupan seharian mereka.

Cita-citanya itu cuba direalisasikan seorang rakan pada 2008, namun disebabkan beberapa kekangan seperti kewangan dan serangan cetak rompak menyebabkan pasaran jualan album tidak begitu konsisten.

Soo Leok Weng

Ia mengakibatkan album berkenaan tertangguh selama 12 tahun sebelum dapat dilancarkan.

Soo berkata, kesungguhan Jim untuk menerbitkan album blues dalam versi Tamil amat mengharukan kerana suaminya itu sebenarnya bukanlah seorang yang begitu fasih dalam bahasa berkenaan.

“Sebenarnya dia boleh memahami dan bertutur, cuma tak berapa fasih selain tak boleh membaca tulisan Tamil,” katanya.

Mendiang antara individu bertanggungjawab menubuhkan kumpulan Blues Gang yang popular dengan lagu hit seperti Apo Nak Dikato, Mak Siti dan Oh! Mama Saya Mahu Kahwin.

Selain Jim, Blues Gang turut dianggotai Ito Mohd selaku vokalis dan harmonika, Shaik Karim (dram), Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Abu Talib (gitar kedua/keyboard) dan Ian Anderson (gitar utama).

Untuk rekod, Amalan Setar tampil menyuntik dana kewangan untuk membantu hasrat tertangguh Jim menerbitkan album sebagai legasi muzik untuk dilancarkan dan dipasarkan dalam bentuk fizikal serta digital.

Jim bersama volakis Blues Gang, Ito Mohd

Selain itu, Tabung Prihatin Artis Jim Madasamy yang mengabdikan nama mendiang ditubuhkan bertujuan membantu artis-artis yang mengalami keuzuran dan kecemasan.

Buat permulaan, Amalan Setar menyumbang RM100,000 bagi menyiapkan sebarang kerja tertunda untuk album tersebut, dan dana buat tabung yang bakal diuruskan Karyawan dan Soo.

Sementara itu, Karim Shaik berkata, pada awalnya anggota lain Blues Gang tidak tahu secara terperinci mengenai album berhasa Tamil ingin diterbitkan Jim.

Menurutnya, bagi penghasilan album, segalanya diselaraskan oleh Jim, manakala anggota yang lain dipanggil sebagai pemuzik studio memandangkan ia adalah projek peribadi mendiang.

“Segalanya diaturkan oleh Jim. Apa pun, kami berharap album Solla Vanthein boleh merancakkan semula karier kami dan kembali menghangatkan nama Blues Gang yang telah lama menyepi,” katanya.