Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gulat si miskin mencari pencuri dan rakus politikus

ULASAN | Mungkin kita tak pernah tahu bahawa setiap pilihan raya itu hakikatnya adalah suatu peperangan.

“Untuk berfikir agar segalanya berjalan dengan baik, ayah mengusahakannya dengan kerja lebih masa. Dua belas ribu ditambah dengan dua ribu hasil daripada kerja lebih masa, tambah lapan ratus lire sehari elaun keluarga, lapan ratus tiga puluh. Apa lagi yang kau mahukan?

“Ayah tidak mahu mengalah. Kita mesti terus mencari. Kau tahu tu, kan? Kerana jika tidak, kita akan kelaparan. Apa yang boleh kita buat? Mereka takkan menunjukkan muka mereka lagi. Kita juga tidak akan temui mereka dengan lilin ibu kau atau dengan bantuan para pendeta.”

Begitulah kata-kata Antonio Ricci kepada anaknya, Bruno, setelah dia kepenatan dan kebuntuan kerana seharian mencari basikal yang dicuri.

Keluarga kecil Ricci adalah sebahagian daripada mangsa Perang Dunia Kedua yang terpaksa menerima kesan daripada konflik yang panjang.

Mao Zedong, bapa Revolusi Budaya yang mengubah sepenuhnya wajah China pernah mengungkapkan ini dalam ucapannya: "Perang adalah kesinambungan daripada politik. Maksudnya, perang ialah politik dan perang itu sendiri merupakan aksi politik. Sejak sedari zaman kuno lagi, belum pernah ada perang yang tak didalangi watak-watak politik. Bagaimanapun, perang mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri, ia sama sekali tidak boleh disamakan dengan politik. Perang ialah kesinambungan politik dari yang lain. Maknanya, ketika politik mengalami perkembangan ke suatu tahap tertentu - apabila politik tidak lagi dapat dilanjutkan dengan caranya yang biasa - perang lalu meletus bagi mengetepikan segala rintangan yang menghalang. Apabila halangan itu dihilangkan dan tujuan politik tercapai, perang akan berhenti. Pun begitu, perang harus diteruskan sekiranya rintangan itu masih belum sepenuhnya dapat dihanyutkan sehingga tujuan politik tercapai sepenuhnya. Justeru, bolehlah disimpulkan bahawa politik ialah perang tanpa pertumpahan darah, sementara perang ialah politik dengan pertumpahan darah.”

Mao benar dalam kata-katanya itu. Tidak pernah ada peperangan yang dimulakan oleh sepasukan tentera. Segalanya adalah gara-gara politikus yang bernafsu dengan kedudukan, tergoda dengan pengaruh sampai jadi rakus tergila-gilakan kuasa.

Analogi perang dan politik Mao memberi justifikasi penting buat kita. Ia adalah jawapan utama mengapa rakyat kekal selamanya menjadi mangsa.

Kehidupan rakyat memang sentiasa bergelut mencari bahagia dalam hidup yang serba sederhana. Ia meletakkan rakyat di bawah konflik perebutan kuasa para politikus kaya yang berebut kuasa.

Turut berkongsi rasa derita

Bagai kata salah satu rangkap dialog 'berhantu' dalam drama pentas The Devil and the Good Lord karya tokoh besar falsafah eksistensialisme bernama Jean-Paul Sartre: “When the rich wage war it's the poor who die (Apabila orang kaya berperang, orang miskinlah yang mati).”

Situasi itulah yang dibawa ke layar lebar menjadi salah sebuah filem terbaik dunia yang pernah dihasilkan. Ladri di Biciclette (Pencuri Basikal) ialah filem Itali.

Filem neorealis yang lebih terkenal dengan judul The Bicycle Thief itu dihasilkan pada 1948 dan diarahkan oleh Vittorio De Sica.

Ia sebenarnya cerita yang diadaptasi dari sebuah novel karangan Luigi Bartolini dengan judul yang sama.

Kepedihan akibat naratif pascaperang Ladri di Biciclette itu kian mencengkam rasa saat Ricci berkata pada anaknya tentang duit gaji, wang elaun, peluang serta keterbatasan harapan yang ada pada keluarga malang itu.

Apa yang dideritai mereka realitinya turut dirasai kita. Sejak kerajaan Malaysia Baru dihumban melalui gerakan gerila pengkhianatan politik oleh kerajaan 'Malaysia Terbaru' yang berkuasa hari ini.

Beban kesan daripada perang gerila yang dimulai orang-orang politik itu tidak pernah selesai dan berhenti. Di tengah-tengahnya ada ramai rakyat yang terkena derita akibat Covid-19 sampai dibuang kerja, hidup tanpa pendapatan, tiada wang malah tiada makanan untuk mengisi perut.

Politikus-politikus kerajaan bersedap-sedap bersama tuan speaker dalam Parlimen berkendurikan udang galah, ayam kampung dengan gulai patin tempoyak berharga ribuan sekali makan.

Bijak bermain kata

Beban bagasi penghidupan yang terpaksa dibawa rakyat tidak pernah berkurangan. Malah hidup rakyat kian terbeban dengan bermacam-macam masalah yang bertimpa-timpa.

Senjata-senjata politik seperti prejudis perkauman, gas beracun berupa kebencian yang disembur bersama agama dan kepercayaan sengaja semarakkan. Semuanya dipersiapkan - tanpa sedar - menjadi bom dan jerangkap samar untuk meledak-ledak dalam senyap bagi menghancurkan hidup rakyat.

Politikus boleh saja bersandiwara dan bijak bermain kata seperti “jangan main politik banyak sangat sebab rakyat perlu pembelaan.”

Mereka juga boleh terus jadi katak, jadi beruk, jadi biawak, ular, musang atau inatang lain untuk mudah melpmpat, mencakar atau menjerit perkara yang bukan-bukan dalam parlimen.

Malah mereka - dengan kuasa yang ada - boleh tidur atau menghisap vape seandainya dilanda kebosanan.

Sementara rakyat terus menderita seribu satu kesan perang politik pengkhianatan sambil sesetengahnya terus leka kerana percaya kepada sekian banyak fitnah serta pembohongan.

Kerana itu ketika ini tiada lagi gegak-gempita seruan yang mahukan RUU355 cepat-cepat dilaksanakan. Tokoh yang dahulunya menjerit-jerit mengatakan kes Adib Mohd Kassim adalah bukti Melayu dan Islam ditindas, kini mendekam selepas menang perang curang.

Kedaulatan Lembaga Tabung Haji yang dulu dicanang kononnya menjual asetnya serta dikuasai orang bukan Islam, kini disucikan dengan kenyataan: “Sekarang kita dalam kerajaan, maklumat yang dulu tidak ada kepada kita, kini sudah ada. Jadi keperluan kepada RCI sudah kecil.”

Inilah idea utama filem Ladri di Biciclette sebenarnya. Selepas Perang Dunia Kedua tamat, rakyat pandai-pandailah membawa diri sendiri untuk hidup. Peluang memperoleh apa saja kerja kala itu umpama mendapat habuan syurga.

Kemusnahan yang dipertonjolkan Vittorio De Sica pada setiap inci naratif Ladri di Biciclette bukan sekadar suatu kemusnahan akibat perang yang biasa-biasa.

Tiada bangunan yang tinggal rangka, juga tiada bunyi siren tentera seperti loceng Dewan Rakyat yang ditekan bagi memanggil sesetengah anggotanya yang culas.

Ia tentang pergelutan orang biasa mendapatkan semula kehidupan selepas dirampas akibat perang.

Harga sebuah 'perang' politik di negara ini memang lumayan nilainya. Jika diambil kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 28 Feb dulu, kosnya sekitar RM750 hingga RM800 juta berbanding RM500 juta pada 'perang' 2018 dulu.

Bayangkan berapa banyak perkara yang boleh dibuat dengan wang sebanyak itu untuk rakyat biasa seperti keluarga Ricci tadi. Untuk kamu yang tidak menontonnya, biar diceritakan sedikit kesudahan nasib mereka.

Ricci gagal menemui basikalnya yang dicuri hingga ke sudah.

Orang politik itu memang gemar berperang. Kerana dengan perang itu mereka akan kenyang. Rakyat biasa biarkan saja mereka mendapat telanjang.


HARIS HAUZAH ialah pengarang sepenuh masa yang masih belum mampu memiliki komputer riba dan belum juga mampu menulis buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.