Jimmy Palikat berhasrat jadi calon bebas
Penyanyi yang popular dengan lagu "Anak Kampung", Jimmy Palikat meluahkan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Jimmy berkata, walaupun buat masa ini ia sekadar angan-angan, namun sebagai anak kampung dia sentiasa berkeinginan untuk membantu masyarakat yang dalam kesusuahan.
"Ya, memang saya akui berhasrat dan berminat untuk menjadi calon pada PRN kali ini, mungkin buat masa ini ia hanya angan-angan tapi mana tahu, tarikh penamaan calon pun belum diumumkan,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Jimmy yang pernah beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-27 pada 2013 bersama kumpulan One Nation Emcees berkata, jika berpeluang dia mempertimbangkan untuk bertanding atas tiket bebas.
"Saya juga pernah menjalani kehidupan susah suatu ketika dulu, jika angan-angan saya ini menjadi kenyataan pasti saya mahu membantu rakyat di kawasan ditandingi dan membawa pembangunan di situ, itu pun kalau rakyat memilih saya,” katanya lagi.
Jimmy mendedahkan kemungkinan akan bertanding di daerah asalnya, Tambunan.
Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Mohd Shafie berkata Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin telah berkenan untuk membubarkan DUN.
Beliau memohon untuk membubarkan DUN selepas bekas ketua menteri Sabah Musa Aman mengumumkan mendapat sokongan 33 Adun bagi membentuk kerajaan negeri baru.
Dalam pada itu, Jimmy ketika ditanya sama ada berminat jika ditawarkan menjadi calon oleh mana-mana parti yang akan bertanding kelak, dia berkata perkara itu belum terlintas di fikirannya.
“Ini kerana sekarang ini saya belum menyertai mana-mana parti politik, jadi pilihan pertama saya adalah menjadi calon bebas," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai