Bila sakit datanglah pada doktor, kata PU Syed pada 'Encik Safiey, Encik Sajat'
Ibarat pesakit perlu berjumpa doktor, begitu juga pandangan Pencetus Ummah (PU) Syed Bakri al-Yahya terhadap keperluan Safiey Illias dan Nur Sajat mencari pembimbing.
Menyamakan situasi didepani dua pengusaha kosmetik itu seperti doktor dengan pesakit, Syed Bakri berkata, seseorang yang ditimpa sakit tidak wajar berdiam diri.
Sebaliknya, kata Syed Bakri, pesakitlah yang harus mempunyai inisiatif untuk pergi berjumpa doktor.
“Dialu-alukan. Sila hadir ke Ipoh Encik Safiey, ajak sekali Encik Sajat. Bila sakit datanglah pada doktor, bukan doktor pula datang kepada pesakit,” katanya di Instagram.
Syed Bakri juga berkata, dia tidak kisah mengenai tarikh untuk pertemuan tersebut diadakan.
“Sebut sahaja tarikhnya bila, waktunya bila, dan jemput hadir ke Matavbaidhi di Ipoh,” katanya.
Terdahulu, Safiey melalui Instagram berkata, dia bersedia untuk berjumpa dengan mana-mana PU atau pakar motivasi bagi membantunya berdepan sebarang isu konflik dalaman.
Biar yang garang nasihatkan
“Saya bersedia berjumpa dengan mana PU ke Ratu Pu ke, Ratu Motivasi ke, Ratu Syurga ke, jangan pum-pang di media sosial demi mendapat populariti dan pengikut.
“Saya bukan nak marah, jauh sekali menafikan setiap bait nasihat diberikan. Namun apalah salahnya jika datang berjumpa dan ikram saya.
“Dan prosesnya janganlah sekali datang je ikram. Kalau betul nak bantu, ikram sampai berjaya. Tunjukkan kehebatan berdakwah tu,” katanya.
Pada masa sama, penyanyi lagu Syinta Gila itu berkata, ibu dan bapanya juga bersedia menunggu mana-mana pendakwah lain yang sedia hadir untuk memberikan motivasi.
“Mak dan ayah saya pun bersedia. Menunggu juga ni, ada tak yang sudi hadir datang berdakwah? Takkan cuma surat terbuka untuk Safiey Illias? Awak ingat aku Ratu Surat Terbuka?
“Nombor telefon ada dekat bio saya, tak ada istilah tak dapat nombor WhatsApp dan sebagainya,” katanya yang sudah serik dengan taktik pendakwah lain yang didakwanya cuba menjadi popular selain melariskan perniagaan melalui agama.
Syed Bakri sebelum ini menegur Safiey selepas dia mencetuskan kontroversi di Internet kerana membuat pendedahan tubuh badannya hanya tinggal kira-kira 30 peratus saja asli.
Ia berlaku akibat menjalani banyak pembedahan plastik.
Dia juga mengkritik Nur Sajat apabila dilihat semakin berani beraksi termasuk berbikini, selain melakukan aksi-aksi ala-ala lucah di akaun media sosialnya.
Sementara itu, Syed Bakri berkata, dia enggan dirinya disamakan dengan pendakwah Ebit Lew yang melakukan ziarah dari rumah ke rumah sambil menyebarkan kebaikan Islam.
“Jangan samakan ambe dengan Ustaz Ebit Lew, jika dia datang secara lemah lembut pun, kamu dengan rakan baik kamu masih tak insaf-insaf. Biarlah yang garang ni pula nasihatkan kamu.
“Zaman nabi ada watak Sayidina Abu Bakar dan ada watak Sayidina Umar. Kedua-duanya mempunyai identiti dan kaedah dakwah masing-masing dan keduanya adalah sahabat paling rapat di sisi Rasulullah SAW,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai