Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Amitabh dan Abishek Bachchan dijangkiti Covid-19

Legenda Bollywood, Amitabh Bachchan dan anak lelakinya Abhishek Bachchan disahkan positif Covid-19 dan kedua-dua mereka kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta.

Ia dimaklumkan menerusi akaun Twitter mereka semalam.

“Saya disahkan positif Covid…kini di hospital..hospital memaklumkan kepada pihak berkuasa… keluarga dan kakitangan telah menjalani ujian (Covid-19), dan sedang menunggu keputusan,” ciap Amitabh.

Dalam ciapannya, pelakon berusia 77 tahun itu turut meminta supaya mereka yang mempunyai kontak rapat dengannya dalam tempoh sepuluh hari lalu untuk melakukan ujian Covid-19.

Tidak lama selepas ciapannya itu, Abishek yang juga seorang pelakon turut memaklumkan bahawa dia turut dijangkiti virus tersebut.

“Kami berdua mempunyai gejala yang ringan, telah dimasukkan ke hospital. Kami telah memaklumkannya kepada pihak berkuasa dan kakitangan serta keluarga kami sedang menjalani ujian.

“Saya minta supaya semua orang kekal bertenang dan tidak panik,” kata Abhishek.

Menurut Reuters, kedua-dua pelakon itu dimasukkan ke Hospital Nanavati di Mumbai, India.

Susulan pengumuman tersebut,peminat, ahli politik, rakan-rakan pelakon, dan ahli perniagaan di serata India mengucapkan agar kedua-duanya cepat sembuh.

India merekodkan 27,114 kes dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikannya sebagai negara ketiga tertinggi dijangkiti wabak Covid-19 selepas Amerika Syarikat dan Brazil.

Mumbai sahaja mencatatkan lebih daripada 84,500 kes dengan 4,899 kematian, meskipun negara itu melaksanakan perintah berkurung yang ketat.