A Aida syukur keputusan mahkamah kes wallet wang kripto dicuri
Penerbit terkenal, A Aida bersyukur dengan keputusan Mahkamah Majistret Ampang hari ini yang menjatuhkan hukuman denda RM17,000 atau penjara 26 bulan kepada pelakon Mas Khan.
Menurut A Aida, keputusan tersebut wajar dijadikan pengajaran kepada si pelaku yang mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805 atau sesiapa saja terbabit kesalahan sama.
“Biar dia rasa!
“Saya bersyukur penjenayah dijatuhkan hukuman. Semoga jadi pengajaran kepada orang lain juga supaya jangan mudah ambil kesempatan.
"Negara kita ada undang-undang. Jangan fikir dia boleh lari dan terlepas begitu saja. Terima kasih pada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya meyelesaikan kes kecurian ini," katanya dipetik Harian Metro.
Majistret Farah Nasihah Annuar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kali ketiga kes itu.
Bagi pertuduhan pertama, pelakon terbabit didenda RM7,000 atau penjara 12 bulan manakala denda RM10,000 atau penjara 14 bulan untuk kesalahan kedua.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencuri wallet yang merupakan mata wang kripto milik A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 50, tanpa izin bernilai RM59,804.15 dan RM154,000.85 di Taman Ukay Perdana, Ampang, di Kuala Lumpur, pada 5 pagi 7 Mac tahun lalu.
Selain itu, kata A Aida, 50, dia bakal membuat tuntutan ganti rugi kepada pelakon itu.
"Selepas ini saya akan buat saman sivil bagi menuntut ganti rugi. Sekarang ini saya dan pasukan peguam sedang buat kira-kira," katanya.
Ditanya kesudiannya untuk bekerja di bawah satu bumbung dengan Mas Khan, 26, selepas ini, A Aida berkata, dirinya akan bersikap profesional.
“Soal kerja saya okay. Kalau stesen televisyen mahukan dia, saya anggap itu rezeki dia. Saya seorang yang profesional dalam bekerja,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai