Yusof Kelana sengaja tak mahu heboh masalah kesihatan
Pengarah dan penerbit filem Yusof Kelana berkata dia memang tidak mahu menghebahkan masalah penyakit kanser kulit dihidapinya kepada orang ramai.
Bagaimanapun, katanya, secara kebetulan ada wartawan yang bertanya mengenainya.
“Saya sengaja tak nak hebohkan perkara ni. Tapi ramai pula mula bertanyakan keadaan saya selepas beberapa gambar dimuat naik melalui Facebook,” katanya kepada Malaysiakini.
Pengarah filem Tragedi Oktober itu menjelaskan, pada awal dia menyangka dirinya menghidapi penyakit kencing manis gara-gara mengalami luka sebesar syiling 50 sen pada tapak kaki.
Malah menurut Yusof atau nama sebenarnya Omar Saleh, sebelum menerima rawatan pakar, dia sudah beberapa kali pergi ke klinik dan farmasi untuk mengubati luka tersebut.
Bagaimanapun, Yusof, 66, berkata, semua usaha berkenaan menemui kegagalan hingga suatu hari, dia terjatuh dan mengalami sakit dada.
“Saya betul-betul tak sangka, ingat kencing manis sebab alami luka. Ada cuba berubat, pergi ke klinik dan farmasi tapi luka tu masih tak sembuh.
“Luka berkenaan pula lama kelamaan semakin merebak dari hanya sebesar duit 50 sen hingga badan mula naik benjol-benjolan.
“Selepas terjatuh di rumah doktor kemudian jalankan ujian Computed Tomography atau CT Scan bagi mengetahui punca dan sahkan mengidap melanoma (kanser kulit) tahap empat,” katanya.
Pemilik YKS Film Maker itu baru selesai menyiapkan penggambaran dokumentari Bisikan Dari Kota Pusaka sebanyak 13 episod untuk siaran Radio Televisyen Malaysia.
Kini, dia sedang dirawat di Hospital Ampang Puteri. Sebelum itu, dia dimasukkan ke hospital selama 10 hari pada penghujung bulan lalu.
Kata Yusof, dia nekad untuk menjalani rawatan kemoterapi biarpun terdapat cakap-cakap belakang kaedah tersebut bukan pilihan terbaik.
“Ramai orang kata jangan buat kemoterapi, tapi saya tak ada pilihan lain. Saya sanggup ambil risiko. Nak ikhtiar selagi termampu,” katanya yang juga penerbit Mahathir: The Journey itu.
Sementara itu, Yusof bersyukur rakan-rakan seperjuangan seperti Yusof Haslam, Jurey Rosli, Ahmad Tarmimi Siregar dan ramai lagi sudi meluangkan masa untuk menziarahinya.
Katanya, kunjungan mereka mengubat jiwa selain menceriakan hatinya.
“Kebanyakan kenalan rapat terkejut bila mendapat tahu berita ni. Mereka jenguk dan berikan sokongan moral.
“Rakan-rakan dalam kumpulan sembang WhatsApp pun tak putus-putus bertanyakan khabar dan memanjatkan doa, alhamdulillah,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai