Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Berseteru dengan papan iklan, seni dan kulit buku

ULASAN SENI | Ada terlalu banyak filem yang memulakan cerita dengan visual-visual pembukaan gah dan spektekular. Namun hanya ada beberapa filem saja yang melakukannya dengan gaya seni yang kuat hingga membekas.

Three Billboards Outside Ebbing, Missouri, misalnya.

Ia memiliki visual pembukaan yang berupaya memberi stimulasi rasa dengan meletakkan subjek utama cerita pada latar visual yang kemudian merusuhkan akal dan jiwa sehingga menimbulkan banyak persoalan.

Ya, seni sememangnya berkuasa.

Baru-baru ini timbul isu sebuah grafik yang dikatakan menyerupai Jata Negara menimbulkan keresahan masyarakat Malaysia. Kononnya ia adalah usaha untuk mencemari kedaulatan dan kesucian lambang negara.

Hasil seni itu diambil menjadi muka depan buku berjudul Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia itu bukanlah karya baru Shia Yih Ying sebenarnya.

Ia pernah dipamerkan secara terbuka pada 2014 dalam satu pameran seni lukis yang diadakan di Kuala Lumpur.

Bagi kebanyakan orang, seni itu mungkin hanyalah hobi atau hiburan untuk mengisi masa. Buat mereka, seni barangkali hanya sekadar keindahan dan kecantikan bersifat sementara yang langsung tidak terkait dengan kekuasaan atau mampu membesarkan jiwa masyarakat dan menggerakkan pemikiran manusia.

Sengaja tak mahu diredakan

Fikiran itu kemudiannya berkembang. Sehingga melahirkan benih-benih aliran pemikiran yang percaya bahawa seni tidak punyai apa-apa kepentingan kepada pembangunan bangsa dan negara.

Akibatnya banyak aktiviti dan pameran seni yang tidak diberi perhatian sewajarnya.

Buktinya karya-karya Shia Yih Ying tak pernah dihebohkan sebagai menghina pada 2014. Ia adalah tahun apabila pameran The Good Malaysian Women: Ethnicity, Religion, Politics dipamerkan di tengah ibu negara.

Dalam esei The Soul of Man Under Socialism karangan Oscar Wilde, dia menjelaskan: “For an educated person’s ideas of Art are drawn naturally from what Art has been, whereas the new work of art is beautiful by being what Art has never been; and to measure it by the standard of the past is to measure it by a standard on the rejection of which its real perfection depends. A temperament capable of receiving, through an imaginative medium, and under imaginative conditions, new and beautiful impressions, is the only temperament that can appreciate a work of art.”

Keterangan Wilde berkenaan seni dalam esei yang rancu dengan idea-idea padat perbahasan tentang kapitalisme, kelas, masyarakat dan kemiskinan ini setidak-tidaknya menyedarkan.

Melihat situasi politik dan suhu perkauman dalam masyarakat yang nampak macam sengaja tidak mahu dirawat atau diredakan, ia sebenarnya kian jadi modal paling murah buat parti-parti politik - terutamanya yang sedang berkuasa - manfaatkan.

Kemelut hidup masyarakat terus-menerus dirawat dengan suapan pelbagai bantuan yang kerajaan pun sedar tidak pernah dapat menyelesaikan masalah mereka.

Penggunaan wang negara serta pemberian dana-dana awam tanpa penjelasan dan persetujuan dalam persidang dewan pula lebih merisaukan.

Namun itu tidak akan pernah menerbitkan keresahan masyarakat. Malah seandainya semua pertuduhan mahkamah orang politik kelak digugurkan, ia tidak akan sehebat karya seni yang dengan pantas menaikkan kemarahan.

Marah kerana papan iklan

Selain memiliki kualiti visual babak pembukaan tanpa elemen spektekular yang gah, filem Three Billboards Outside Ebbing, Missouri juga membicarakan dinamika permasalahan ini untuk sama-sama kita fikirkan.

Hal yang diangkat sebagai subjek pada babak pembukaan diketengahkan menjadi naratif yang mendap. Segala keladak berisi timbunan kebencian dan kemarahan masyarakat akan hal-hal keresahan yang tak diselesaikan dikocak sebagai konflik dalam penceritaan.

Mildred Hayes - iaitu watak utama dalam filem tersebut - menyewa tiga buah papan iklan dan menghasilkan suatu karya yang memeranjatkan.

Dengan warna terang kemerahan, Mildred meletakkan tulisan: Raped While Dying pada papan iklan pertama, And Still No Arrests di papan iklan kedua; dan How Come, Chief Willoughby? pada papan iklan terakhir.

Tindakan Mildred menaikkan kemarahan. Malah idea seni Mildred di papan iklan yang dimulai pada babak pembukaan filem arahan Martin McDonagh itu dianggap melulu, melampau dan bersifat provokatif jahat yang tak kena pada tempatnya.

Pihak berkuasa yang rasa terhina dengan kerja seni Mildred di pinggir desa terpencil Ebbing di Missouri segera bertindak. Masyarakat yang tidak benar-benar mengerti pula dengan pantas menghakimi.

Itu semudahnya berlaku apabila majoriti polis dan masyarakat selesa berada di bawah kelangkang atau telunjuk kuasa. Masing-masing sangat cenderung untuk membinasakan hidup mereka dengan altruisme yang berlebihan.

Tanpa menyedari bahawa segala permasalahan yang wujud dalam masyarakat berpunca dari sistem kekuasaan, kita selalu cuba menyelesaikan isu berkenaan sehingga menggabaikan segala potensi berharga - termasuk seni - yang mampu mewaraskan kita daripada seribu satu kegilaan.

Tanpa menidakkan apa-apa peruntukan akta dan undang-undang seperti termaktub dalam Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 masyarakat seharusnya mengambil sikap yang lebih wajar.

Segala tindakan yang mahu diambil terhadap seni harus dilihat bukan hanya dari kaca mata kekuasaan politik kerajaan, bidang kuasa menteri atau undang-undang.

Seni adalah seni, dan seni hidup di atas segala apresiasi yang diberikan penguasa dan masyarakat.

Sebuah karya seni patut dinilai dari aspek polemik masyarakat. Ia harus dilakukan dengan mengambil kira kompleksiti politik yang sering saja diambil kesempatan oleh golongan partisan bagi menyekat suara dan kebebasan seni.

Caranya, mereka akan memonopoli aprisiasi kesenian itu

Ya, seni sememangnya berkuasa.

Sebab itu ada papan tanda dan grafik buku yang menyebabkan pihak berkuasa bertindak dan mengambil tindakan.


HARIS HAUZAH ialah hamba Allah yang belum pernah sekali pun dapat diizinkan masuk ke masjid selepas PAS jadi kerajaan pusat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.