Imej kulit buku bukan manipulasi Jata Negara, kata Zunar
Di tengah-tengah gesaan supaya tindakan diambil terhadap pengubahsuaian logo Jata Negara, kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque berkata imej kontroversi yang dipaparkan di kulit buku itu tidak patut dilihat sebagai memanipulasikan Jata Negara.
Sebaliknya, Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata pereka logo tersebut mungkin hanya menggunakan logo Jata Negara sebagai rujukan, dan bukannya memanipulasikan imej sebenar.
"Ini kerana hanya satu bahagian, iaitu kurang dari 50 peratus dari keseluruhan gambar lambang Jata Negara yang lengkap, digunakan dalam karya itu.
"Manipulasi adalah apabila seseorang menggunakan keseluruhan logo dan mengubah satu atau sebahagian kecil dari keseluruhan logo," kata Zunar kepada Malaysiakini.
"Untuk memahami perkara ini, ia sama seperti larangan menggunakan bendera negara sebagai kain secara menyeluruh, tetapi jika kita hanya mengambil bahagian jalur atau hanya bahagian bintang (di bendera), saya tidak menganggapnya melanggar undang-undang," katanya .
Tafsiran seni luas
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin sebelum ini berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan "tindakan tidak patriotik" berhubung Jata Negara dan mengarahkan pihak polis menjalankan siasatan segera berhubung isu itu.
Menurut kenyataan menteri dalam negeri itu, Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama 1963 menetapkan adalah menjadi kesalahan bagi mereka meniru lambang Kerajaan Persekutuan itu.
Zunar berpendapat seorang artis tidak boleh bertanggungjawab terhadap tafsiran orang ramai mengenai karya mereka.
"Apabila kita bercakap tentang seni dengan mesej, makin luas tafsirannya, adalah lebih baik. Untuk lukisan ini, tafsirannya sangat luas.
"Prinsip asasnya adalah,'sebagai seorang artis, tugas saya adalah menghasilkan seni, tetapi saya tidak bertanggungjawab untuk tafsiran orang lain'," katanya.
Zunar menambahkan dia bingung dengan pengkritik yang menganggap imej itu menyinggung perasaan, termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah, yang menganggap ia sebagai perbuatan biadab.
Menurut pereka grafik Fahmi Reza (gambar, bawah), imej yang digunakan pada kulit buku itu adalah lukisan minyak yang dipamerkan secara terbuka enam tahun lalu.
Zunar berkata bahawa dia pertama kali melihat lukisan itu kira-kira dua tahun lalu dan melihatnya sebagai imej seorang wanita yang berkarisma.
"Cara saya melihatnya, ia adalah seni ekspresi diri yang abstrak dengan mesej simbolik dan tafsiran yang sangat luas.
"Saya pasti jika 100 orang melihat lukisan ini, mereka akan mengeluarkan 100 jenis tafsiran," katanya.
Menyedari dengan gesaan bahawa tindakan akan diambil di bawah Akta Hasutan, Zunar memberi amaran kemungkinan kepada malapetaka apabila individu tanpa sebarang pengetahuan mengenai seni diberi kuasa yang besar untuk menghukumnya.
“Ia mencetuskan malapetaka kepada lanskap seni kita.
"Sangat bahaya apabila pihak berkuasa menggunakan tafsiran mereka dan menggunakan undang-undang seperti Akta Hasutan untuk membenarkan tindakan mereka itu,” katanya.
sambil menekankan bahawa unsur-unsur politik perkauman telah mula digunakan dalam isu itu dengan tidak sepatutnya.
Semalam, polis menyerbu kedai buku Gerakbudaya di Petaling Jaya dan merampas 313 salinan buku, Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia, setelah ia mendapat perhatian baru-baru ini kerana penggunaan imej di kulit bukunya, di mana beberapa pihak mendakwa bahawa ia merupakan penghinaan terhadap logo negara.
Sebelum serbuan itu, pengarah dan pengasas Gerakbudaya, Chong Ton Sin telah memohon maaf atas imej kulit buku tersebut tersebut, dan menekankan bahawa tidak ada niat untuk menghina mana-mana pihak dengan sengaja.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai