Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ali XPDC beransur pulih

Keadaan Vokalis XPDC, Ali yang melecur di beberapa bahagian di badannya akibat disambar api Mac lalu, semakin beransur pulih.

Berkongsi keadaan semasanya dengan BH Online, Ali bagaimanapun berkata masih berasa pedih di bahagian kulit yang melecur dan bergantung kepada pil penahan sakit yang diberi doktor, di samping ubat-ubatan lain.

“Nak pulihkan kulit yang melecur memang mengambil masa. Hingga kini masih rasa pedih dan gatal terutama di kawasan pelipat.

“Setakat ni semuanya berada dalam keadaan baik, cuma saya tak boleh berdiri terlalu lama kerana rasa seperti dicengkam akibat pertumbuhan kulit baru,” katanya sambil menambah dia kini berpantang agar lukanya cepat sembuh.

Ali, 52, melecur di tangan, kaki dan muka sebanyak 30 peratus semasa membakar sampah di belakang rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor pada 26 Mac lalu.

Ekoran kejadian itu, Ali berkata, dia tidak boleh tidur dengan lena, malah berat badan susut sebanyak 20 kilogram (kg) dalam masa kira-kira tiga bulan.

Baru-baru ini, gambar wajahnya yang melecur teruk menjadi tular selepas seorang kenalan membuat memuat naik beberapa gambar di Facebook.

Gambar itu dikongsikan kenalan yang dikenali sebagai Ali Russia itu turut memohon sumbangan orang ramai bagi meringankan beban Ali.

Bagaimanapun, Ali berkata dia tidak berniat untuk menagih simpati tetapi hanya mahu insiden yang menimpa dirinya menjadi iktibar kepada orang lain.

Menurutnya, gambar itu diambil semasa luka belum pulih sepenuhnya dan hanya mengizinkan gambar itu dimuat naik di media sosial baru-baru ini.

"Itu adalah gambar saya, tetapi ia ketika kejadian kebakaran pada penghujung Mac lalu. Ketika itu, saya tidak berkongsi kepada sesiapa kerana tidak mahu ia tular seperti hari ni.

"Apabila tular, ramai rakan akan menghubungi membuatkan saya tidak boleh berehat. Sekarang apabila beransur pulih, kawan minta izin muat naik dalam FB sebagai iktibar. Saya izinkan.

"Saya mahu orang ramai berhati-hati ketika membakar sampah atau melakukan perkara yang membabitkan api," katanya lagi.

Ali berkata dia menghargai keprihatinan orang ramai dan mengaku gembira apabila ramai kawan lama tampil bertanya khabar.

"Malah selepas kerajaan membenarkan aktiviti menziarah, ramai yang datang ke rumah menjenguk saya.

"Terima kasih yang menghulurkan sumbangan meringankan beban saya. Dengan sumbangan diberikan, saya boleh membeli ubat-ubatan. Tiadalah bekalan ubatan terputus apabila ada sumbangan," katanya lagi seperti dipetik.