Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hang Tuah, Melayu dan hikayatnya

ULASAN SENI | Berbondong-bondong orang Melayu di Melaka pada hari itu keluar menuju ke istana. Ramai berhimpun di pekan dan kota. Beruntun berarak di jalan-jalan meraikan hari itu dengan tempik dan teriak gembira.

"Hidup Hang Tuah! Hidup Laksamana!" 

Jeritan itu bergema-gema di seluruh Melaka.

Kegembiraan Sultan Melaka saat itu sememangnya tiada tara. Malah tak dapat digambar dengan kata dan bicara daripada garapan visual Phani Majumdar yang serba sederhana dalam filem Hang Tuah. 

Cukup hanya dengan sepotong titah: “Hai orang besar-besar dan rakyat Melaka sekelian. Dari hari ini Hang Tuah beta gelarkan Orang Kaya Laksamana. Dan dialah yang menyandang pedang kerajaan Melaka.”

Keraian dalam menzahirkan rasa syukur Sultan Melaka itu tentu saja wajar dan kena pada tempatnya. Ini kerana baginda bersama seisi kerabat istana Melaka sendiri serik dengan perit khianat dan derhaka. Itu semua dicatatkan dalam Hikayat Hang Tuah yang kita baca:

“Arkian raja pun turunlah dari istana itu lima berputra, lalu ke rumah Bendahara. Tun Bija Sura berjalan dahulu, Hang Lekir, Hang Lekiu dari kiri kanan, Hang Kasturi dengan segala biduanda empat puluh itu dari belakang. Maka segala perempuan isi istana dua buah itu pun turunlah dari istana berlarian mengikut raja.

“Hatta maka titah raja: 'Ayuh mamak Bendahara, hapuskan apalah arang di muka kita.' Maka sembah Bendahara, 'Daulat tuanku, apa sebabnya maka Duli Yang Dipertuan selaku ini?' Maka raja pun bertitah dengan air matanya…"

Peristiwa hitam baginda sultan Melaka terusir dari istana yang dirakam pilu oleh teks Hikayat Hang Tuah itu sayangnya tidak divisualkan pada filem yang diterbitkan di Singapura pada 1956. Tapi ia ditebus dengan babak sultan Melaka menengking ke muka pegawai istana sewaktu berada di rumah datuk Bendahara:

“Maka raja pun bertitah dengan murkanya pada segala pegawai yang dengki akan Laksamana itu. 'Hai kamu sekelian yang dengki! Pergilah kamu membunuh bapamu Si Jebat itu. Aku tahu akan matinya juga padamu sekelian. Jikalau Si Jebat tiada mati, engkau sekalian kubunuh!'

“Setelah segala pegawai mendengar titah Raja Melaka demikian itu maka sekelian pun tunduk dengan takutnya.”

Bergetar-getar suara baginda sultan Melaka menahan marah dan kecewa hingga mengeluarkan titahnya:

“Lagi-lagi Tun Ali dan kamu semua yang bencikan Hang Tuah dulu. Tangkap Si Jebat itu, jikalau sekali ini tidak berjaya jugak aku akan hukum pancung kamu semua kerana melanggar perintah.

“Hah inikah muka yang mengaku taat setia pada raja? Tidak ada satu biji mata pun yang berani menangkap Si Jebat gila itu. Kalau Hang Tuah ada, dialah yang dapat menghapuskan maluku."

Memang mahsyur dalam pengetahuan kita tentang takdir Hang Tuah ditimpa fitnah angkara pada pembesar dalam istana Melaka. Juga memang kita maklumi kejaguhan Hang Tuah dengan minuman keras dalam banyak keramaian di balairung dan balai gendang istana.

Lantikan penuh keanehan

Malah sesungguhnya teks-teks hikayat Melayu kita juga yang mengisahkan betapa pasar-pasar moden di Melaka memang terkenal dengan amalan sogokan dan rasuah dalam kalangan pembesar dan peniaga.

Perkara-perkara penting inilah yang Melayu sengaja lupa dan buat-buat buta, atau barangkali malas membacanya.

Justeru ia menjadi isi penting kepada hati dan kepala orang Melayu yang kelihatan tuli dengan segala korupsi yang melanda bangsa dan negaranya.

Hari ini, ada kalangan orang Melayu yang tergamak memanggil perompak dengan gelar tinggi, memuja dan mulia. Juga memberikan gelaran manja, mesra dan akrab buat tokoh yang dianggap mengkhianati janji.

Memberikan pujian dan pujaan meninggi kepada pemakai jubah pula sudah lama berlakunya.

Kita tahu yang sultan Melaka secara politiknya tersalah menyusun strategi dan tersilap meletakkan percaya. Malah langkah politik baginda melantik Jebat bagi menggantikan tempat yang terpaksa dikosongkan Tuah itupun sesuatu yang penuh keanehan juga.

Cuba kita semua ambil sedikit masa dan cuba menonton filem Hang Tuah semula. Babak paling penting dalam filem Hang Tuah itu ada pada penghujungnya.

Iaitulah pada waktu seluruh rakyat Melaka meraikan kejayaan Hang Tuah menamatkan penjarahan Hang Jebat di Istana Melaka. Dengan mengembalikan semula sultan Melaka ke istananya, Hang Tuah pada realitinya berduka.

Hang Tuah yang tak terpujuk dengan pujukan ibunya pun berkata: “Jika saya mengeluarkan semua air mata saya sekali pun, takkan dapat membasuh lumuran darah pada tubuh si Melur dan Jebat. Mereka telah mengorbankan nyawa mereka kerana kematian saya, padahal saya masih hidup.”

Hang tuah kemudiannya bangun dan berjalan menuju ke jendela. Melihat sendiri dengan mata kepalanya betapa rakyat sedang bangga menjerit-jeritkan namanya. Melaung-laungkan kata “Hidup Hang Tuah! hidup Laksamana!"

Hang Tuah langsung tak teruja dengan itu semua. Malah pada waktu itu dia dibelenggu penyesalan dan dalam penuh seksa dia pun bertanya: "Siapakah yang benar? Jebatkah yang benar, atau akukah yang benar?”

Dialog itu adalah hipotesis penting buat sekelian orang Melayu. Betapa Melayu nampaknya tidak cakna dengan makna kejujuran dan bezanya dengan pengkhianatan. Betapa orang Melayu buta apakah warna sebenar keadilan dan kebatilan sehingga kemungkaran di depan mata dianggap suatu norma baru yang harus dibiasakan dalam kehidupan.

Melaka yang dianggap negeri penting dalam kelahiran dan penyebaran Islam itu tidak menjamin apa-apa. Serupa saja dengan keadaan negara ini hari ini. Para agamawan hanya mendiamkan segala kecurangan yang ada di depan mata.

Kadang-kadang ada mufti sukar dibezakan di antara tugasnya di sebuah negeri dengan seorang ahli politik yang berparti.

Dunia Melayu memang banyak hikayatnya. Sayangnya orang Melayu enggan belajar apa-apa daripada segala hikayat itu untuk mencerdaskan bangsa.


HARIS HAUZAH ialah Melayu beragama Islam yang percaya Melayu boleh saja pada bila-bila masa hilang dari dunia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.