Projek Oscar bukan sekadar bawa filem ke Anugerah Academy
Selain bertujuan membawa filem tempatan ke peringkat global, Projek Oscar juga diwujudkan sebagai satu pelan jangka panjang yang bertindak sebagai paksi bagi menggerakkan ekonomi industri perfileman tanah air, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Beliau berkata, melalui projek yang diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah itu, pelbagai kekurangan dalam industri juga akan cuba diatasi sebaik mungkin.
“Melalui pelan jangka masa panjang itu, Projek Oscar dijadikan paksi untuk menggerakkan ekonomi industri termasuk memperuntukkan fasa enam bulan bagi melihat sejauh mana tahap kita.
“Sebelum itu, Finas akan mengkaji apa kekurangan dan kelebihan yang ada, ini sebagai starting point dan melalui data tersebut perbadanan akan menyusun satu kerangka Projek Oscar,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada 16 Jun lalu, Saifuddin menggariskan empat pelan dan tindakan agar sasaran filem tempatan disenarai dalam kategori Filem Terbaik Anugerah Oscar dapat dijayakan melalui Finas.
Beliau berkata, impian itu akan cuba direalisasikan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Pada masa sama, Ahmad Idham yang pengarah dan pelakon itu juga berkata, sememangnya sasaran utama sebaik beliau memegang semula jawatan CEO Finas pada 5 Jun lalu adalah untuk menggerakkan ekonomi terutama selepas ia terjejas akibat susulan pandemik Covid-19.
“Matlamat saya adalah untuk menggerakkan ekonomi misalnya, fasa pertama mula penggambaran kemudian melihat stesen televisyen menjadi stabil dari segi ekonomi, dan akhirnya baru pergi ke majlis keraian,” katanya.
Bagaimanapun, tidak semua penggiat industri benar-benar memahami perancangan dirangka Finas ketika ini.
Ada segelintir pihak berpendapat terdapat beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh agensi kerajaan itu, antaranya penerbit Lorna Tee.
“Memperbaiki ilmu celik filem, menaik taraf pendidikan seni, menyediakan asas untuk industri yang lestari dan adil untuk semua pembuat filem, pelakon serta kru, kukuhkan strategi antarabangsa selain membasmi tapisan filem dan rasuah.
“Dan shut up already about the d*** Oscar dan selesaikan perkara di atas terlebih dulu,” ciapnya di Twitter.
Sementara itu, pelakon Iedil Putra, 36, juga dilihat menyokong Lorna apabila dia melakukan ciapan semula kenyataan tersebut.
Pelakon Interchange itu sebelumnya berkicau: “Nak menang Oscar? Cuba menang hati rakyat dulu.”
Dia kemudian berkata, kerajaan perlu membuat satu perubahan secara sistematik sebelum memasang impian lebih jauh.
“Ya, ini adalah perbincangan yang sangat penting dan telah bermula sejak dulu. Kena ada perubahan sistemik dulu baru berangan macam Mat Jenin,” katanya.
Ditanya apakah maksudnya, Iedil menjelaskan luahannya itu khusus untuk penggiat industri seni.
“Kita sepatutnya uruskan hal-hal yang lebih dekat terlebih dulu,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai