Ahmad Idham dilantik semula sebagai CEO Finas
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan pelantikan semula Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Pelantikan tersebut berkuatkuasa untuk tempoh selama dua tahun iaitu bermula 5 Jun 2020 sehingga 6 Jun 2022.
Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berharap pelantikan pengarah dan pelakon berkenaan dapat terus menjana kecemerlangan agensi kerajaan itu sebagai sebuah badan peneraju industri kandungan kreatif negara.
“Perbadanan dengan berbesar hati ingin mengumumkan pelantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai ketua pegawai eksekutif Finas yang baru berkuatkuasa 5 Jun ini hingga 6 Jun 2022.
“Semoga dengan pelantikan beliau, Finas akan terus menjana kecemerlangan sebagai sebuah badan yang memaju, menggalak dan memelihara kemajuan industri perfileman tanah air,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Pengarah Jangan Pandang Belakang itu sebelum ini dilantik memegang jawatan tersebut pada bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 11 Mac 2019.
Zakaria turut berterima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan terhadap pembangunan semula sektor ekonomi industri kreatif negara yang telah terjejas akibat penularan wabak Covid-19.
“Finas juga menyambut baik dan berterima kasih di atas peruntukan sebanyak RM225 juta sebagai insentif rangsangan ekonomi kepada industri ini melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang telah diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini.
“Beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara akan dikawal selia oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Saifuddin Abdullah yang pastinya akan memberi manfaat kepada pemegang taruh industri,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai