Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hans Isaac mahu pulangkan gaji pengerusi Finas pada penggiat seni

Mengotakan komitmen yang disuarakannya sebelum ini, bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Hans Isaac akan memulangkan gaji dan elaun yang diterimanya sepanjang 13 bulan memegang jawatan itu kepada industri seni.

Hans berkata wang tersebut akan disalurkan kepada penggiat seni di belakang tabir filem dan drama khususnya mereka yang terjejas dari segi kewangan akibat wabak Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sejak mula menjadi pengerusi lagi saya pernah cakap tidak mahu apa-apa daripada Finas termasuk gaji dan elaun yang diberikan.

"Jadi, sekarang apabila sudah tidak berada dalam agensi itu, saya akan pulangkan semua kepada industri dengan membantu golongan pekerja belakang tabir seperti jurukamera, 'runner', jurusolek dan sesiapa saja yang terbabit," katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dia berkata sesiapa yang memerlukan bantuan boleh berjumpa dengannya, dan dia juga akan berusaha untuk berhubung dengan mereka.

Dilantik mengemudi Finas pada 8 April 2019, kontrak Hans ditamatkan pada 23 Mei lalu.

Tempatnya kemudian digantikan dengan Zakaria Abd Hamid, yang merupakan bekas ketua cabang PKR.

Dalam pada itu, Hans berkata dia tidak terasa hati dengan penamatan kontraknya dan telah membuat yang terbaik sepanjang berada di Finas.

"Seperkara saya nak cakap, inilah masalah yang berlaku di Finas. Kalau tukar kerajaan, pimpinan dalam agensi ini pun ditukar.

“Sampai bila pun masalah tak selesai dan pembaharuan sukar dicapai. Malah, ia kena mula dari awal semula. Sekurang-kurangnya habiskan kontrak jawatan itu dulu," katanya.

Dia turut mengakui sebagai bukan "orang politik", dia menjadi mangsa keadaan termasuk sasaran beberapa persatuan yang didakwa sentiasa memberi tekanan kepadanya.

Katanya lagi, ketelusannya dalam melaksanakan tugas menyebabkan dirinya kurang disenangi segelintir pihak.

"Saya tidak ada agenda politik sepanjang dalam agensi itu. Saya tak pandai bermain permainan politik. Jadi, apa yang berlaku saya anggap saya mangsa keadaan.

"Dari dulu lagi saya selalu cakap, industri kreatif tak boleh babitkan politik. Kalau ada, ia memang takkan berjaya. Perkara ini sudah lama berlaku," katanya lagi.