Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Covid-19 buat hidup seniman jalanan gelap berganda-ganda

Serangan Covid-19 menyaksikan ramai penggiat seni berdepan keperitan untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila banyak aktiviti yang selama ini menjana pendapat buat mereka, terhalang.

Antara mangsa kesan berantai Covid-19 ialah seorang penghibur jalanan yang juga orang kelainan upaya (OKU), Azri Pinang.

Menurut pemuda berusia 39 tahun dan mempunyai masalah penglihatan itu, dia menganggap nasibnya sekarang terlalu gelap.

“Sekarang situasi saya begitu gelap... berganda-ganda gelapnya.

"Saya pemuzik OKU penglihatan dan rezeki bergantung sepenuhnya daripada aktiviti busking tapi kini pendapatan untuk menampung keluarga sudah terhalang,” katanya.

Pemain gitar kumpulan Reedem Buskers itu berkata, biasanya dia menjana pendapatan di depan restoran McDonalds di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang memang menjadi kawasan tumpuan pelancong luar.

“Sudah masuk empat tahun, setiap hari di situ lah saya buat persembahan tapi sekarang dah lebih tiga bulan tak boleh mencari pendapatan," katanya.

Enggan mengalah, Azri berkata, dia mencuba pelbagai cara lain untuk memenuhi keperluan ekonomi keluarga sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi ia sama sekali tidak mudah.

Terpaksa teroka jalan lain

Keadaan mereka sebagai OKU, katanya, lebih menyulitkan keadaan, termasuk menguasai kemahiran baru dalam tempoh yang singkat.

“Apa pun, kami tetap berusaha dan berdoa agar ada apa-apa sumber lain yang boleh mendatangkan rezeki,” katanya.

Luahan itu disampaikan Azri sewaktu Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Saraya Arbi, mengadakan tinjauan dan memberi sumbangan Aidilfitri kepada penggiat seni di sekitar ibu kota dan Selangor kelmarin.

Sesi ziarah tersebut turut dihadiri Presiden Karyawan, Freddie Fernandez.

Saraya menyerahkan sumbangan kepada Azri

Seorang lagi seniman jalanan - yang biasa memakai kostum badut - Md Munawar Md Nawi, 57, juga menyokong kenyataan Azri.

Dia yang sering beraksi depan kompleks beli-belah Sogo di tengah ibu kota juga tidak mahu mengaku mengalah meneroka pintu rezeki berbeza bagi menampung keperluan hidup

“Kami faham keadaan norma baru ini, terpaksa meneroka jalan lain seperti perniagaan kecil-kecilan dalam talian.

"Apa yang amat kami harapkan ialah rantaian wabak ini benar-benar dapat diputuskan supaya kami boleh beraksi macam biasa,” katanya.

Untuk rekod, di Kuala Lumpur ada hampir 400 penghibur jalanan diberikan permit oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Karyawan selepas mereka menjalani kursus khas.

Pelukis karikatur, Mahathir Pauji (gambar), turut menyatakan harapannya agar kerajaan dapat memberikan kelonggaran bagi penghibur jalanan kembali bekerja.

Mahathir atau lebih dikenali sebagai Manzar, 36, mencari rezeki sebagai pelukis di depan Bank CIMB, Bukit Bintang dan ia dilakukan secara sepenuh masa.

Katanya jika dibenarkan kembali mencari rezeki seperti selalu mereka berjanji akan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Asalkan kami boleh terus mencari rezeki,” katanya.

Turut menerima kunjungan Karyawan kelmarin ialah Havoc Studio yang terletak di Jalan Klang Lama, milik pemain bass kumpulan Gersang, Hairozaman Sain, atau Man Greng.

Man Greng dari kumpulan Gersang

Lawatan berkenaan dibuat bagi meninjau situasi sebenar pemuzik yang makan gaji di hotel-hotel dan kelab-kelab malam.

Kata Hairozaman, 57, dia sedang mencari cara alternatif agar rakan-rakan pemuzik sepertinya bekerja. Antaranya menganjurkan kelas muzik dan persembahan secara dalam talian di studio itu menggunakan aplikasi Zoom.

“Dalam keadaan sekarang kita kena memanfaatkan teknologi yang ada bagi meneruskan kerja-kerja seni kami.

"Operasinya mungkin tidak selancar dulu tapi kami perlu terus berjuang dalam norma baru ini.

“Tidak boleh mengalah sama sekali walau apa pun cabaran yang datang. Dengan ikhtiar dan doa insya-Allah pintu rezeki akan terus terbuka,” katanya yang bergerak aktif sebagai pemuzik profesional selama 40 tahun.

Pada 18 Mei lalu, Karyawan mengutus surat kepada Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob untuk mendapatkan kelonggaran bagi penghibur jalanan mengadakan persembahan dan aktiviti tanpa mengabaikan SOP yang ditetapkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.