Henry Golding hilang sabar baca kata-kata Samantha
Pelakon kelahiran Malaysia yang sedang membina nama di AS, Henry Golding membidas kenyataan pemenang Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katie James berhubung rusuhan yang sedang berlaku di negara itu.
Menurut Henry, kenyataan Samantha yang tidak sensitif berkaitan kempen Black Lives Matter itu menimbulkan kemarahannya kerana baginya, bekas ratu cantik Malaysia itu kurang memahami keadaan sebenar yang menghimpit masyarakat kulit hitam di negara Uncle Sam itu.
“Biasanya saya cuba bertenang bila berdepan situasi begini, tapi bila baca komen anda, ia benar-benar menimbulkan kemarahan saya.
“Anda tidak faham isu yang perlu didepani orang kulit hitam dari hari ke hari. Anda perlu dikritik kerana bercakap mengenai isu perkauman seperti itu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Henry turut menandakan Samantha dalam hantaran tersebut.
Dalam laporan Malaysiakini semalam, anak berdarah campuran Cina dan Brazil melontarkan komen bahawa mereka yang melakukan rusuhan tidak berjaya mencapai matlamat melalui apa yang disifatkannya sebagai keganasan.
Menurut Samantha, 25, rusuhan dan bantahan masyarakat kulit hitam menandakan golongan kulit putih "telah menang". Dia juga berkata masyarakat kulit hitam sepatutnya menerima kelahiran mereka sebagai sebagai cabaran.
Susulan itu, Persatuan Ratu Universe Malaysia (Mumo) mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sama sekali tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak wajar, tidak dapat diterima, menghina, dan menjengkelkan.
Untuk rekod, Black Lives Matter di AS bukan hanya disertai masyarakat kulit hitam tetapi pelbagai bangsa yang bersolidariti ke atas kematian George Floyd.
Floyd adalah seorang lelaki kulit hitam yang mati ketika ditahan seorang pegawai polis di Minneapolis, Minnesota pada 25 Mei lalu. Ramai berpandangan kekerasan yang diterimanya - dan menyebabkan kematiannya - berpunca daripada warna kulitnya.
Pada masa sama, Henry yang pernah menjayakan filem A Simple Favor itu berkata, kebanyakan orang mungkin tidak dapat benar-benar memahami apa dilalui masyarakat itu di AS.
“Namun satu perkara boleh dilakukan, ia adalah dengan tolong bersuara.
“Kita perlu menjadikan Malaysia terus maju bermula dengan diri kita sendiri. Sudah tentu saya tak akan berdiam diri dengan kenyataan daripada seorang selebriti 'tak signifikan' di Malaysia.
“Saya tak akan membiarkan orang lain salah faham apa yang berlaku sebenarnya,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai