Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Nyanyian Nabila dikecam lagi

Selepas nyanyiannya dipertikai warganet, Nabila Razali tampil memohon maaf secara terbuka atas kesilapan vokalnya sewaktu menyampaikan lagu Peluang Kedua secara langsung dalam sebuah program sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Pada masa sama, Nabila tetap bersikap positif dalam menangani kritikan tersebut.

"Assalamualaikum. Pertama dan paling penting, saya mohon maaf kerana mengecewakan anda semua. Saya tidak meletakkan kesalahan itu pada orang lain tapi diri sendiri.

"Saya pasti setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya," katanya di Instagram hrai ini.

Ketika program itu, vokalnya ketika menyampaikan lagu ciptaan Hael Husaini disedari sedikit bermasalah sehingga mengundang perbualan di media sosial.

Ia bukanlah kali pertama nyanyiannya dikecam dan beberapa kali kritikan warganet terhadapnya dilaporkan di media.

Dalam pada itu, Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali berkata akan terus memperbaiki mutu nyanyiannya di masa hadapan dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terus memberi kata-kata semangat kepadanya.

"Kepada yang DM, WhatsApp dan hubungi saya untuk tenangkan saya, terima kasih sebab selalu ada bersama saya dan berikan kasih sayang kepada saya (anda tahu siapa anda).

"Saya sememangnya sangat perlukannya ketika ini. Saya doakan segala yang baik-baik untuk anda semua," katanya lagi.