Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ciapan kritikan Swift pada Trump raih perhatian tinggi

Rasa tidak senang diluahkan penyanyi terkenal Amerika Syarikat (AS), Taylor Swift di Twitter terhadap Presiden Donald Trump yang didakwa menggalakkan polis melepaskan tembakan jika perusuh mula merompak kedai menjadi ciapan dengan "like" paling banyak setakat ini.

Dimuat naik lima jam lalu, ciapan itu telah menerima dua juta "like" dan 400,000 ulang ciap setakat ini.

Menerusi ciapan itu, Swift mengkritik Trump susulan kenyataan yang dikeluarkannya berkenaan rusuhan yang tercetus di beberapa bandar di AS, ekoran kematian George Floyd, 46, ketika ditahan polis.

"Selepas membakar api perkauman orang kulit putih sepanjang menjadi presiden, anda boleh pula berpura-pura dengan ketinggian moral sebelum mengancam keganasan?

"Kami tidak akan undi anda pada November ini," ciapnya yang turut menanda akaun rasmi Trump.

Dia merujuk kenyataan Trump di Twitter baru ini, yang menyifatkan perusuh di Minneapolis - tempat rusuhan bermula - sebagai samseng, dan "apabila rompakan bermula, tembakan juga akan dimulakan".

Bagaimanapun, Twitter kemudian meletakkan notis pada ciapan tersebut, menyatakan kandungannya melanggar peraturan kerana mempromosikan keganasan.

Kematian Floyd pada 25 Mei lalu selepas ditahan pegawai polis, Derek Chauvin atas dakwaan menggunakan wang palsu.

Rakaman video menunjukkan Chauvin menekan lututnya di leher Floyd walaupun dia berulang kali mengatakan tidak boleh bernafas tersebar di internet dan mebangkitkan kemarahan ramai.

Dahulunya seorang yang berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat berkenaan politik, Swift mula lebih terbuka dalam soal itu sejak lebih setahun lalu, apabila menggesa penduduk Tennessee untuk memilih anggota Demokrat Phil Bredesen pemilihan untuk Senat AS .

 Sejak itu juga, penyanyi I Knew You Were Trouble itu begitu lantang mengkritik pentadbiran Trump.

Dalam sesi temubual dengan The Guardian,Taylor menggambarkan suasana politik dihasilkan Trump sebagai "meletakkan kritikan terhadap presiden seolah-olah sebagai kritikan terhadap Amerika sendiri".

Mengenai pentabiran Trump, Taylor berkata: "Kami adalah demokrasi - paling tidak, seharusnya kita jadi begitu - di mana anda dibenarkan untuk tidak bersetuju, tidak setuju, berdebat. Saya benar-benar berpendapat bahawa dia [Trump] menganggap ini adalah autokrasi."