Pempamer PBAKL 2020 yang ditangguh dapat pulangan bayaran
Pihak yang telah membuat bayaran penuh untuk menjadi pempamer di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020 yang telah ditangguhkan, layak mendapat semula 50 peratus daripada bayaran yang telah dibuat.
Bagaimanapun mereka perlu membayar semula jumlah itu sebelum penganjuran PBAKL akan datang, yang dicadangkan dibuat pada Mac tahun depan.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa PBAKL2020 hari ini, dan dikongsikan ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Kota Buku (PKB) Mutalib Othman, di media sosial hari ini.
“Pemulangan ini adalah kelonggaran kepada pempamer untuk tujuan menguruskan hal-hal PBAKL yang tertangguh. Bagaimanapun, pemulangan ini hendaklah dibayar semula sebelum penganjuran PBAKL akan datang,” katanya di Facebook.
Menurutnya, bagi pameran yang belum membuat bayaran penuh, pemulangan dikira berdasarkan pemotongan peratus daripada bayaran yang telah dibuat.
Bagi pempamer yang membuat bayaran kurang daripada 50 peratus, dia pemulangan akan dibuat, katanya lagi.
Katanya lagi, keutamaan dalam pemulangan adalah kepada pempamer yang telah membuat permohonan melalui survey dan emel kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MKBM), manakala yang belum memohon, boleh mengemukakannya kepada MBKM mulai hari ini hingga 31 Mei 2020.
“Cek pemulangan akan diselesaikan mulai atau selewat-lewatnya pada 24 Mei 2020 (sebelum Hari Raya Aidil Fitri),” katanya yang turut menambah MBKM akan berbincang secara berasingan dengan pempamer daripada agensi kerajaan berhubung pemulangan tersebut.
PBAKL2020 pada asalnya dijadualkan berlangsung 27 Mac hingga 5 April lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), namun ditangguhkan gara-gara wabak Covid-19.
Acara itu dianjurkan Kementerian Pendidikan Malaysia, MKBM, Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC), dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), PKB, dan beberapa pihak lain.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai