Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PTVM harap KKMM bantu dapatkan 'talian hayat' dari MKN

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli, menulis surat kepada Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) untuk meminta diberikan kelonggaran menjalankan penggambaran.

Menurut Jurey, PTVM berharap KKMM memanjangkan isu berkenaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang kini hanya membenarkan sektor tertentu saja untuk beroperasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Jika MKN masih tidak membenarkan penggambaran dijalankan untuk tempoh lebih lama semasa PKPB ini, kami yang terkesan ni nak makan apa?

"Banyak industri lain pun sudah buang pekerja. Bagaimana pula nasib kru produksi yang punca pendapatan mereka bergantung pada sesebuah penggambaran.

"Mereka ni bekerja secara kontrak dan makan gaji hari," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Jurey, jika beberapa sektor industri lain dibenarkan beroperasi semula semalam, sepatutnya bidang hiburan juga boleh mendapat kebenaran sama.

Untuk rekod, surat berkenaan dihantar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah pada 30 April lalu.

Semalam, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Hidup kena terus juga

Namun, MKN menyenaraikan penggambaran filem antara aktiviti yang tidak dibenarkan semasa PKPB berdasarkan beberapa justifikasi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara alasan diberikan KKM ialah, sukar untuk mengawal keadaan apabila terdapat ramai orang serentak pada satu masa, kemungkinan pendedahan kepada titisan pernafasan, kemungkinan kontak rapat dalam masa panjang yang tidak dapat dielakkan dan keberadaan di dalam ruang rapat dan tertutup dalam masa yang lama.

Bagaimanapun, MKN memaklumkan senarai berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan pembukaan sektor ekonomi akan dibuat secara berfasa, bergantung kepada keadaan kesihatan semasa dan ketersediaan perniagaan.

Jurey menjelaskan kelonggaran yang dimintanya itu bukan bermaksud penggiat industri kreatif tidak mementingkan aspek keselamatan mahupun nyawa.

“Kami kena teruskan hidup juga, nak bayar itu ini, makan anak dan bini. Kalau tak ada kerja, tak ada pendapatan, berapa lama boleh bertahan?

“Apa yang boleh dijanjikan ialah kami akan mengikut SOP ditetapkan MKN sekiranya ingin menjalankan penggambaran.

“Sudah tentu langkah berjaga-jaga seperti penggunaan topeng muka, cecair pembasmi kuman akan dititikberatkan penggunaannya selain mengukur suhu badan kru produksi sebelum mereka memulakan tugas,” katanya.

Turut dibangkitkan Jurey adalah penerbit televisyen yang menghentikan penggambaran - sejak peraturan kawalan pergerakan (PKP) dikeluarkan 18 Mac lalu - juga terpaksa menanggung kerugian akibat peningkatan kos.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah 

Justeru, kata Jurey, PTVM berharap dapat bertemu Saifuddin bagi mengetengahkan dan membincangkan isu bayaran oleh stesen televisyen yang ketika ini hanya akan diserahkan kepada penerbit sekiranya projek selesai saja.

“Kami hanya minta duit gaji kami dibayar secara penuh sebelum jalankan kerja sebab sekarang ni penerbit guna peruntukan sendiri.

“Kami minta menteri seboleh-bolehnya faham situasi dihadapi penerbit yang terjejas akibat PKP apabila aliran wang tunai dah 'lari'.

"Semua stesen televisyen bayar duit pula hanya selepas projek siap 100 peratus, macam mana nak mulakan penggambaran semula,” katanya.