Mamat Khalid tawarkan Manap Karaoke untuk ceriakan PKPB
Meskipun perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) masih melarang aktiviti hiburan seperti pembukaan panggung wayang, ia tidak menghalang penonton untuk menikmati filem seperti di pawagam melalui filem rahan Mamat Khalid, Manap Karaoke.
Bagi Mamat, sesuai dengan suasana PKPB, penonton masih boleh menonton filem baru walaupun kekal berada di rumah masing-masing dan bergelak ketawa bersama keluarga.
Katanya, dengan itu ia mungkin boleh membantu mengurangkan perasaan tertekan atau bosan kerana sudah lama pergerakan masing-masing terbatas.
"Saya harap karya ini dapat menghiburkan dan memberi semangat kepada penonton dengan jenaka dan lagu-lagu yang boleh membuat mereka menyanyi bersama.
"Penonton dapat duduk di rumah, bergelak ketawa bersama keluarga di samping menikmati kualiti filem sebenar seperti di pawagam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mamat lagi, Manap Karaoke juga didatangkan khas buat penonton yang mungkin sudah mula merindukan karyanya di pawagam ketika ini.
"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pihak Astro Shaw yang meletakkan kepercayaan pada karya ini untuk dipersembahkan kepada penonton ketika tempoh PKP," katanya.
Dahaga filem berkualiti, segar
Dibawakan oleh Astro Shaw dan diterbitkan oleh Enjit Enjit Semut dan Vision Studios (M), Manap Karaoke dijadual menemui penonton melalui Astro First bermula 7 Mei ini.
Ia berkisahkan kehidupan Manap - yang dilakonkan oleh Joey Daud - yang membuka perniagaan karaoke bergerak dari rumah ke rumah dengan menggunakan lori.
Dengan perkhidmatan itu peminat karaoke tidak perlu keluar lebih dari 10 kilometer kerana Manap yang dibantu oleh rakan-rakannya akan hadir di kawasan perumahan untuk membolehkan penduduk berhibur.
Selain Joey, Manap Karaoke turut dijayakan Pekin Ibrahim (Rauf Bogiba), Mona Allen (Jamizan), Ropie (Encik Kamarulzaman), Sharwani NS (Wahab B), Imuda (Pak Mid), TJ Isa (Mat Khuda), arwah Rab Khalid (Taiko Tai), arwah Man Kadir (Tok Imam), Ziema Din (Kak B Vavavom) dan ramai lagi.
Pada masa sama, pengarah filem Hantu Kak Limah itu berkata, Manap Karaoke turut membolehkan penonton mengimbau kenangan semasa era 1990-an.
"Filem ini bukan sahaja tertumpu pada penceritaan dan watak semata-mata, tetapi ia juga mengembalikan nostalgia lagu-lagu 1990-an yang masih popular hingga saat ini," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, berkata corak tontonan rakyat Malaysia berubah sejak PKP dilaksanakan.
Menurutnya, banyak aktiviti di rumah dihabiskan dengan menonton.
"Mereka dahagakan filem-filem yang berkualiti dan segar, justeru, kami sentiasa berusaha untuk membawakan kandungan yang terbaik buat penonton Astro ketika tempoh PKP ini.
"Manap Karaoke adalah sebuah filem komedi yang sarat dengan mesej positif yang boleh diambil sebagai teladan. Ia juga bertepatan dengan tema Ramadan Astro iaitu Indahkan Senyuman, Eratkan Jalinan.
"Astro Shaw cuba mempersembahkan sebuah filem yang ada nilai hubungan persaudaraan serta mampu mengukir senyuman selain mengembirakan dengan lawak jenaka yang sesuai untuk tontonan setiap lapisan masyarakat.
"Kami percaya bahawa keutuhan sesebuah ikatan bermula daripada senyuman dan ini membolehkan rakyat Malaysia bersatu dalam menghadapi apa jua cabaran," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai