Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bintang Bollywood, Rishi Kapoor meninggal dunia

Pelakon legenda veteran Bollywood, Rishi Kapoor yang selama beberapa dekad menghiburkan penggemar filem Hindustan, meninggal dunia selepas dua tahun menderita sakit leukemia.

Pelakon berusia 67 tahun itu dimasukkan ke sebuah hospital di Mumbai pada Rabu lalu.

Mendiang pernah menjalani rawatan di Amerika Syarikat selama setahun sebelum kembali ke India pada September tahun lalu.

Rishi mula mengukir nama menerusi filem romantik "Bobby" yang diterbitkan pada 1973.

Filem popularnya yang lain termasuk "Karz", "Nagina", "Saagar", "Amar Akbar Anthony" dan "Chandni".

Memulakan karier seni lakon pada 1970 menerusi filem yang juga dibintangi ayahnya, Raj Kapoor "Mera Naam Joker".

Perdana Menteri India Narendra Modi menyifatkan Rishi sebagai seorang anak seni yang sangat berbakat.

"Kita kehilangan seorang insan hebat hari ini. Pelakon yang luar biasa, manusia yang luar biasa dan 100 peratus berjiwa anak wayang," kata bintang filem Aamir Khan.

Rishi meninggalkan seorang isteri, pelakon Neetu Kapoor, anak lelaki Ranbir dan anak perempuan Riddhima.

Semalam, India turut dikejutkan dengan berita kematian pelakon Irrfan Khan, yang terkenal menerusi filem "Life of Pi" dan "Slumdog Millionaire".