Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

‘Hang Tuah keturunan Sekana, suku Melayu asli laut di Indonesia’

Sejak 10 tahun kebelakangan ini, asal-usul sosok legenda Hang Tuah sering menjadi spekulasi banyak pihak.

Ada yang mendakwa Hang Tuah itu berbangsa Melayu, ada yang mendakwa dia berketurunan Cina, malah ada yang mendakwa laksamana Kesultanan Melayu Melaka itu berketurunan India.

Namun, mengulas mengenai spekulasi itu, bagi sasterawan negara Muhammad Haji Salleh yang mengkaji kisah Hang Tuah dan menterjemah Hikayah Hang Tuah ke dalam bahasa Inggeris, itu menunjukkan Hang Tuah boleh menjadi simbol negara yang menggabungkan rakyat.

“Seronok juga Hang Tuah ini dituntut oleh begitu banyak bangsa. Hang Tuah ialah wira bangsa Malaysia Indonesia, dan juga Brunei. Kerana beliau terkenal dan dipuja di semua negara.

“Tak banyak hal yang menggabungkan kita. Kalau Hang Tuah boleh membawa kita bersama merasakan dia adalah simbol negara kita, maka itu satu sumbangan yang sangat besar,” katanya dalam sesi sembang bersama ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Steven Sim

Bercerita mengenai asal-usul Hang Tuah, kata Muhammad, dia sendiri telah banyak berjalan demi “mencari Hang Tuah”, malah berseloroh bahawa dia mungkin berjalan lebih banyak daripada Hang Tuah sendiri.

Secara peribadi, beliau percaya Hang Tuah adalah berketurunan Sekana, iaitu suku Melayu asli laut di Indonesia.

Katanya, dalam Hikayat Hang Tuah, laksamana tersohor itu dikatakan berasal dari Sungai Duyong.

Meskipun terdapat juga Sungai Duyong di Melaka, tetapi lokasi itu tidak bertepatan dengan jalur masa Hang Tuah, lalu Muhammad berpendapat tempat yang paling tepat dirujuk hikayat itu ialah Sungai Duyong di Pulau Singkep, Indonesia.

Sungai Duyong di Indonesia itu pernah didiami oleh suku Sekana, yang bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi dengan telor yang sukar difahami.

“Ini adalah Sungai Duyong yang saya rasa tempat Hang Tuah dilahirkan.

“Dan suku-suku lain di situ, ada dekat 15 suku di situ (juga) mempercayai Hang Tuah berasal dari kumpulan Sekana,” katanya.

“Masuk akal bahawa dia akhirnya dijadikan laksamana di laut. Itu dunianya. Itu kemahirannya,” katanya lagi yang merujuk Hang Tuah sudah pandai berdayung dan melawan lanun sejak kecil, sesuai dengan suku Sekana yang sinonim dengan laut.

‘Hang’ tingkat kebangsawanan lebih rendah

Sim turut membangkitkan spekulasi bahawa Hang Tuah itu mungkin berasal dari China kerana nama yang mirip dengan Hang Li Po, namun Muhammad melihat persamaan nama itu mempunyai kaitan yang jauh.

Katanya, tidak seperti “Tengku”, pangkat nama “Hang” adalah menunjukkan tingkat kebangsawanan yang lebih rendah, seperti Wan dan pangkat-pangkat nama yang lain seumpamanya.

Dalam spekulasi ini, Hang Tuah dikatakan waris keturunan daripada rombongan yang membawa Hang Li Po ke Melaka.

Ini kerana nama Hang Tuah dikatakan mirip dengan nama orang Cina yang selalunya terdiri daripada tiga suku kata, termasuklah sahabatnya yang lain, iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu, namun tidak termasuk Hang Kasturi.

Tambah Muhammad, selain China, Hang Tuah turut dikatakan berasal-usul dari Deli di Medan, Kelantan, dan juga Palembang.

“Tetapi tak apalah. Hang Tuah kepunyaan kita semua dan saya sendiri melawak pada kawan-kawan, setelah 15 tahun menterjemah Hikayat Hang Tuah dan sekarang empat ke lima tahun mengerjakan manuskrip ini, saya juga rasa (saya) keturunan Hang Tuah kerana dapat ingat cara dia bergerak, cara dia bercakap.

“Nampaknya dia mengalir dalam darah saya juga,” katanya lagi.

Untuk sesetengah pihak yang mendakwa Hang Tuah hanyalah watak mitos yang direka, Muhammad menjawab dia percaya Hang Tuah wujud, dan bukti yang paling jelas adalah nama Hang Tuah itu sendiri disebut sekurang-kurangnya 120 kali dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).

Dalam hikayat, Hang Tuah digambarkan seseorang yang fasih dalam 12 bahasa, handal dalam ilmu persilatan, dan sering mewakili Kesultanan Melayu Melaka ke banyak negara luar.

Disoal Sim apakah iktibar yang boleh dipelajari daripada Hikayat Hang Tuah, Muhammad merujuk kepada sikap terbuka Hang Tuah yang boleh diteladani, lebih-lebih lagi buat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

Hidup dalam budaya kosmopolitan

Katanya, Hang Tuah mengajar bagaimana hidup dalam budaya “kosmopolitan” (sejagat), dan untuk tidak bertengkar dengan mereka yang terdiri daripada berlainan bangsa, latar dan bahasa daripada kita.

“Ini semua boleh diterima.

“Hang Tuah adalah warga dunia dan wakil daerah. Di mana-mana pergi dia dapat menyerap masuk ke dalam budaya dan tujuan. Itu juga yang kita boleh dipelajari,” katanya.

Tambahnya, Hang Tuah menjadi teladan seorang yang fasih dalam pelbagai bahasa, terutamanya di Malaysia yang juga mempunyai penduduk yang bertutur dalam banyak bahasa.

“Kita boleh ambil iktibar daripada Hang Tuah supaya kita juga boleh menjadi sebahagian daripada Asia Tenggara yang terbuka, yang dapat bertolak ansur, dapat menerima budaya (lain), dan dengan itu, berkembang bersama-sama dengan (seperti) beliau,” katanya lagi.