Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Foo Fighters dan hina kita menyambut Ramadan

ULASAN | Dalam satu ucapan yang dibuat oleh perdana menteri pada 10 April lalu, Muhyiddin Yassin ada menyebutkan istilah “new normal” iaitu gesaan agar rakyat dapat membiasakan diri dengan kebiasaan baru.

Ya, apa yang telah dan sedang berlaku ini adalah sesuatu yang belum pernah berlaku. Pandemik Covid-19 yang melanda dunia kini sesungguhnya membawa kita ke suatu tahap penghidupan yang berbeza.

Istilah dan gesaan yang disebut Muhyiddin itu segera mengingatkan kita pada bait rangkap lirik lagu Times Like These dendangan Foo Fighters:

“It's times like these you learn to live again

It's times like these you give and give again

It's times like these you learn to love again

It's times like these time and time again…”

Mood dari melodi dan semangat vokal Dave Grohl yang dilagukan melalui bunyi-bunyian instrumen dunia mereka tiba-tiba jadi angin kesedaran yang membangkitkan imaginasi untuk kita bangkit semula.

Melalui lagu itu Foo Fighters seakan memberi kita “power bar” untuk kita terus cekal dan kuat mengharungi orde baru era “new normal” seperti yang diperkatakan perdana menteri dalam ucapannya.

Adalah sesuatu yang bukan aneh apabila muzik dan filem yang hadir dalam pelbagai bentuk seni, sastera dan budaya itu datang kepada kita seperti datangnya nabi membawa pesan-pesan berguna.

Juga bukanlah sesuatu yang mustahil seandainya seni, sastera dan budaya - yang sampai ke tangan kita lewat muzik dan filem itu - menjadi firman-firman berupa agama.

Kerana memang salah satu fungsinya - selain memberi hiburan hati serta melapangkan jiwa - ia adalah obor pada manusia yang sedang lara.

Sudah banyak menderita

Namun bagi mereka yang kaya, seperti anak-anak menteri yang terliba dalam Langkah Sheraton misalnya, atau orang yang sejak lahir hingga dewasa hanya ditatang dalam 'dulang emas' serta muda-mudi pemilik perniagaan busana dan tudung, mereka itu memang sukar untuk memahami makna lara.

Memang payah untuk si kaya-raya mahu faham kenapa ada rakyat biasa yang begitu payah dan terseksa sekali untuk duduk diam dalam rumah mereka yang berbilik sempit dan sukar dibezakan di antara ruang tamu dan ruang makan.

Ditambah pula dengan makanan di dapur yang serba kurang. Berasak-asak dalam hangat, mereka juga mungkin terpaksa menelan kepahitan realiti kerana dipotong gaji atau kehilangan kerja.

Kita memang runsing dan akan cepat diserang loya serta pening kepala tatkala mendengar ini semua. Sebagaimana cerita seorang saudagar pasar raya raksasa yang tak semena-mena meminta kerajaan melakukan pemotongan gaji penjawat awam yang sebelum PKP ini pun tidaklah hidup sesenang mana.

Dah kenapa agaknya dengan orang kita? Cara kita menyambut kedatangan Ramadan tahun ini benar-benar berbeza dari biasa. Ada banyak sekali kebiasaan baru yang mula nampak jadi resam kebiasaan.

Kebiasaan baru juga ialah bagaimana kita semudah-mudahnya menghamburkan kata benci dan caci-maki bertaraf xenofobia terhadap saudara Rohingya kita yang sudah banyak menderita lara sampai perlu melarikan diri demi nyawa.

Beberapa hari sebelum Ramadan tiba, kita menerima perkhabaran bahawa terdapatnya dua bot membawa sejumlah pelarian Rohingya yang cuba memasuki perairan negara. Perkhabaran itu diterima bersama ura-ura bahawa terdapatnya komuniti Rohingya yang ada di negara kita berhadapan risiko kebuluran akibat PKP yang dikuat kuasa.

Sekarang masa angkat isu penindasan 

Ini bukanlah kali pertama kisah duka lara rakyat Rohingya sampai ke telinga kita. Cerita mereka diburu, disesah dan dibelasah sampai disembelih dan diperkosa, sememang kita maklum semuanya.

Bahkan pada 4 Dis 2016 dulu, perdana menteri ketika itu, Najib Razak, bersama presiden PAS bersama-sama sepentas dalam satu himpunan dipanggil Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa.

Kata Abdul Hadi Awang - sebelum dia dipilih menduduki kerusi istimewa sebagai duta khas bertaraf menteri - ialah: "Kita perlu mewujudkan campur tangan antarabangsa, mendahulukan diplomasi dan kemudian secara darurat yang boleh difikirkan bersama bagi menyelamatkan nyawa manusia, khususnya wanita, orang tua dan kanak-kanak dizalimi.”

Nah, inilah masanya dia - yang sekarang menjadi khalifah besar Malaysia di rantau Timur Tengah - segera mengangkat isu penindasan rakyat Islam setinggi-tingginya.

Kita harus faham, Rohingya itu bukan secara pukal boleh dihukumkan sebagai pendatang haram yang mahu mencuri segala apa kerja yang ada di negara kita.

Sebahagian mereka warga yang dihalau selepas tidak mendapat pengiktirafan dari negara asal mereka. Hal itu sekali gus menjadikan mereka manusia tidak bernegara.

Justeru bagaimana kerajaan Malaysia merujuk mereka sebagai orang asing yang terperangkap dalam PKP dan perlu dibantu oleh pihak kedutaan negara masing-masing?

Selepas Najib berdegar-degar berucap dalam himpunan solidariti untuk Rohingya itu, tidak pernah ada apa-apa usaha yang serius oleh kerajaannya.

Pada waktu itu Malaysia boleh saja menandatangani konvensyen antarabangsa berkait pelarian iaitu 1951 Refugee Convention dan Protokol 1967. Malaysia tidak melakukannya.

Tak reti seksa di rumah sempit

Sehinggalah pada Dis 2017 iaitu beberapa hari sebelum Natal tiba. Pope Francis datang ke Dhaka dan bersemuka dengan saudara-saudara Rohingya kita dan berkata:

“Tragedi kamu sangat berat, tersangat besar. Kami berikan ruang di hati kami. Atas nama setiap orang yang menganiayai kamu, yang menyakiti kamu dan khususnya dunia yang tiada perasaan ini, saya pohon kemaafan kamu. Maafkan kami.”

Ramadhan era "kebiasaan baru" tidak perlu menjadikan kita binatang rasis atau raksasa xenophobia. Kerana ianya tak banyak bezanya dengan sikap dan kelaku orang-orang kaya yang menolak untuk meluangkan masa memahami sakit peritnya tinggal lama dalam rumah sempit, sesak dan hangat.

Sementara menunggu waktu berbuka petang nanti, cubalah luangkan sedikit masa mendengar Times Like These itu yang dalamnya ada kata-kata:

“I, I'm a new day rising

I'm a brand new sky

To hang the stars upon tonight

I am a little divided

Do I stay or run away

And leave it all behind?”

Covid-19, PKP dan Ramadan adalah masa untuk kita membuang segala yang jahat dan hina. Kita harus kembali menjadi manusia sebagaimana apa yang tuhan kata dalam firman-firman-Nya.


HARIS HAUZAH ialah penulis yang beriman dengan filem dan percaya seni, bahasa dan budaya adalah senjata.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.