Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Azlee Senario, Isma rakam lagu Mak Cik Kiah

Setiap orang mempunyai cara tersendiri bagi mengisi masa lapang ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Bagi Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Asean dan Industri, Sohaimi Shahadan, selain meluangkan masa bersama keluarga, beliau mengambil peluang yang ada untuk menulis lirik lagu.

Sejak pelaksanaan PKP berlangsung, dua buah lagu telah beliau hasilkan yang terinspirasi daripada tindakan pihak berkuasa mengawal penularan wabak Covid-19.

Lagu berjudul Mak Cik Kiah dihasilkan Sohaimi tercetus daripada ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) baru-baru ini.

"Idea untuk menghasilkan lagu Mak Cik Kiah ini tercetus apabila mendengar ucapan PM yang menyebut nama Mak Cik Kiah sehingga ia tular dan trending di media sosial.

"Semua orang bercakap tentang Mak Cik Kiah, jadi saya ambil yang positif, Mak Cik Kiah ini simbol kepada seorang wanita yang mengikuti perkembangan semasa, cerdik dan cekal walaupun hanya peniaga warung.

"Jadi apabila nama Mak Cik Kiah ini tular, saya mengambil kesempatan untuk mencipta lagu berdasarkannya," katanya ketika dihubungi.

Sohaimi Shahadan

Lagu Mak Cik Kiah didendangkan pelawak, penyanyi dan pelakon Azlee Jaafar yang juga anggota kumpulan Senario bersama penyayi Isma ataupun nama sebenarnya Ismaliza Ismail yang juga kakak kepada penyanyi Tomok.

Sohaimi berkata, beliau mengambil masa dua hari bagi menghasilkan lirik lagu berkenaan sebagai sokongan kepada pengumuman pakej Prihatin yang menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat.

Menariknya, proses rakaman suara bagi lagu itu dibuat di kediaman masing-masing oleh kedua-dua penyanyi itu dan dihantar secara dalam talian kepada komposer untuk menggabungkannya dan seterusnya menghasilkan lagu berjudul Mak Cik Kiah.

"Lagu ini sebagai hiburan serta suntikan inspirasi kepada mak cik-mak cik peniaga kecil di luar sana yang saya kira terkesan pada musim Covid-19," kaitannya.

Sohaimi yang sememangnya berbakat dalam bidang seni termasuk dunia puisi dan pernah bergelar kartunis sebelum menjadi ahli perniagaan.

 Lagu kedua yang dihasilkan beliau adalah 'Mawar Ungu (untuk frontliners)' didedikasikan khusus kepada petugas barisan hadapan negara yang bertungkus lumus membebaskan negara daripada wabak Covid-19.

Lagu itu katanya dinyanyikan Anas Tahir yang juga adik kepada penyanyi terkenal tanah air Faizal Tahir.

"Lagu ini saya hasilkan sebagai dedikasi istimewa kepada petugas barisan hadapan negara yang bertungkus lumus bagi menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.

"Ia sebagai penghargaan dan terima kasih saya sebagai rakyat Malaysia kepada mereka," katanya.