Jokowi: Glenn telah pergi, tapi karyanya tetap abadi
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyifatkan pemergian penyanyi Glenn Fredly semalam sebagai satu kehilangan besar untuk industri muzik Indonesia.
Menurut Jokowi, meskipun Glenn pergi meninggalkan Indonesia buat selama-lamanya, karya-karyanya yang pernah menghiburkan peminat akan tetap kekal abadi.
“Saya mendengar khabar duka ini semalam, bahawa seniman muzik Glenn Fredly Deviano Latuihamallo meninggalkan kita untuk selamanya.
“Saya dan keluarga menyampaikan khabar dukacita kepada keluarga besar mendiang Glenn Fredly, juga kepada seluruh insan muzik Indonesia.
"Glenn Fredly telah pergi, tapi karyanya akan tetap abadi dan kita nikmati,” katanya di media sosial sebentar tadi.
Jokowi kemudian berkongsikan imej Glenn yang diambil pada 2018 bersama sederet pemuzik Indonesia semasa di Istana Merdeka.
Semalam, penyanyi Akhir Cerita Cinta dan Januari itu mengejutkan peminat-peminat di Indonesia dan Malaysia apabila dia dilaporkan meninggal dunia pada usia 43 tahun.
Glen diberitakan menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 6.47 petang di Rumah Sakit Setia Mitra, Cilandak, Jakarta Selatan akibat komplikasi meningitis dan sakit ginjal.
Jokowi dalam ucapan belangsukawanya itu juga menyebut Glenn sebagai seorang pemuzik yang sering memberi inspirasi khususnya kepada generasi muda.
“Mendiang adalah tokoh muda yang menginspirasi anak-anak muda Tanah Air, terutama para pemuzik, kerana dedikasinya pada seni yang begitu luas dan dalam sebagai pencipta lagu, penyanyi, juga aktivis,” katanya.
Glenn yang terkenal dengan karya bernuansa R&B, pop dan jazz itu meninggalkan isteri, Mutia Ayu dan seorang anak perempuan yang baru berusia dua bulan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai