Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lukisan Van Gogh dicuri dari muzium Belanda

Sebuah lukisan oleh pelukis tersohor Belanda, Vincent van Gogh dilaporkan telah dicuri pada awal Isnin dari Muzium Singer Laren di Netherland yang kini ditutup kepada orang awam kerana pandemik koronavirus.

Lukisan "Lentetuin", atau "Spring Garden," yang bertarikh sekitar tahun 1884 yang menggambarkan taman kubah di Nuenen, telah dipinjam dari Muzium Groninger.

"Saya amat sangat marah dan sekarang saya juga sedih," kata Jan Rudolph de Lorm, pengarah Muzium Singer Laren, kepada Reuters dalam satu temu bual.

Beliau merayu kepada mereka yang telah mengambil lukisan untuk menjaganya dengan baik "agar lambat laun ia boleh dipamerkan semula kepada orang awam tanpa sebarang kecacatan".

Van Gogh, yang bergelut dengan penyakit mental sepanjang hidupnya, tinggal bersama ibu bapanya ketika dia melukis "Spring Garden". Ayahnya bekerja sebagai seorang paderi di Nuenen.

Menurut De Lorm, lukisan yang memaparkan seorang wanita di taman dengan pokok berbunga merah dan berlatarbelakangkan sebuah gereja itu menggambarkan "imej keheningan, bayangan ketenangan, yang pasti memberinya rasa selesaa dan inspirasi".

"Melaluinya, ia memberikan kita dan mereka yang melihat lukisan itu emosi yang sama," tambah Lorm.

Muzium yang terletak di bandar Laren di sebelah timur Amsterdam, turut merayu agar lukisan itu segera dikembalikan dan memaklumkan bahawa kecurian berkenaan telah dilaporkan di masukkan dalam senarai Interpol mengenai karya seni yang dicuri.

Dalam satu kenyataan, polis berkata pencuri memasuki muzium itu dengan memecahkan pintu kacanya sekitar jam 3.15 pagi (9.15 pagi waktu Malaysia).

"Pencuri telah melarikan diri semasa ketibaan polis susulan alat penggera yang berbunyi itu," kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, polis sedang mencari rakaman keselamatan dan mengambil keterangan saksi, serta memeriksa bukti forensik.

Semua muzium di Belanda telah ditutup akibat wabak koronavirus sejak 12 Mac lalu.

- Reuters