Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pelukis tak perlu menjual kasihan

ULASAN | Biasanya, ia akan mendatangkan sedikit rasa sakit di hati kami apabila melihat hasil karya pelukis wanita. Seolah-olah hanya mereka yang mengalami penderitaan, bahkan dalam kebanyakan masa, karya-karya pelukis wanita hanya mahu menjual kasihan.

Cerita gagal dalam semua keadaan dan kemusnahan hidup seperti tiada penghujung sering menjadi tema dalam karya pelukis-pelukis wanita.

Sepertinya kita ini dipaksa menonton drama tivi 24 jam sehari hari selama hidup tanpa henti dan ia kemudian diulang dan ulang lagi.

Malangnya hidup yang sering digambarkan oleh pelukis wanita seharusnya menjadi satu macam iktibar kepada kepada seluruh manusia di jagat raya ini.

Maksudnya, jika kita mengambil karya pelukis wanita sebagai petanda kehidupan manusiawi, maka selayaknyalah kita ini dihapuskan oleh virus korona yang makin mengila ini dan diganti dengan kumpulan yang lebih bahagia.

Telah pupus agaknya kebahagian dalam jiwa hampir semua pelukis wanita di Malaya ini. Tapi sedikit mujur kerana kita masih ada Marisa R Ng.

Jika ditanya, mungkin Marisa juga akan menceritakan kemusnahan hidup dan kemurungan menjadi manusia, namun jika kita melihat karya beliau tanpa mahu tahu tentang masalah hidup yang sedang dialaminya, kita akan dibuai oleh satu rasa gembira yang tiada hujungnya.

Sudah membuahkan hasil

Kami selaku seorang pelukis sering berasa cemburu apabila melihat kerja Marisa. Warna-warna yang dilemparkan bagai tidak dipedulikan. Ia menimbulkan suatu nikmat yang tidak dapat diceritakan.

Mungkin ianya adalah luahan daripada rasa marah, sedih, kecewa dan segala macam kegelapan yang ada pada diri seorang pelukis wanita, namun ianya dipersembahkan dalam bentuk yang tidak mendatangkan rasa sakit hati seperti yang kami sebutkan awal tadi.

Pada awal kariernya Marisa menumpukan kepada karya figura. Cuma mutakhir ini beliau pergi kepada karya-karya yang abstrak.

Marisa adalah antara pelukis yang perlu diberikan perhatian dan kami melihat kesungguhan beliau dalam berkarya kini telah membuahkan hasil. Baru-baru ini beberapa karya beliau mendapat sambutan yang memberangsangkan sewaktu dipamerkan di Indonesia.

Ini adalah sesuatu yang jarang berlaku kerana kita tahu sukar untuk seorang pelukis dari luar Indonesia - sementelah lagi dari Malaya - berjaya menembusi pasaran negara jiran kita itu.

Hasilnya beliau kini dalam rencana untuk mengadakan pameran solo yang kelima dan merancang untuk mengadakan pameran tersebut di Jakarta.

Marisa mula melukis dengan mengambil kursus jangka pendek di Aswara selain mendapat tunjuk ajar daripada pelukis terkenal, Ismadi Salehudin, dan juga Suzlee Ibrahim.

Bermula dari sana beliau mula berpameran dan dikenali sebagai seorang pelukis yang prolifik. Karya-karya beliau sering dipamerkan.

Untuk seorang pelukis yang agak baru, mempunyai empat pameran solo adalah sesuatu yang membanggakan.

Seperti yang kami katakan, Marisa mungkin belum boleh memisahkan dirinya di antara Marisa si pelukis dengan Marisa seorang wanita. Namun karya-karya beliau kelihatan mula mahu mengasingkan kedua dunia itu.

Berfikir dengan otak seorang seniman tentu saja berbeza dengan otak yang penuh emosi seorang wanita. Tetapi jika mereka boleh melakukannya tentu saja pelukis wanita akan dianggap seorang seniman.

Memperjuangkan hak sambil menangis adalah kebebalan. Sepatutnya bangunlah dan hasilkan kerja yang dihormati tanpa perlu meraih belas kasihan.

Cerita derita hendaknya disimpan di rumah saja. Jadikan kanvas sebagai alat untuk menakluk dunia.

Seniman itu tidak berjantina.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair yang kini berada di Jogjakarta dan mengharapkan kerajaan menghantar penerbangan belas kasihan untuk membawanya pulang ke tanah air tercinta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.