Kualiti vokal antara punca Amy tinggalkan Search
Kualiti vokal yang dikatakan semakin menurun antara faktor vokalis Search, Amy mengambil keputusan meninggalkan band berkenaan.
Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, dia sudah lama merancang untuk berundur daripada band yang ditubuhkan sejak 1981 itu.
“Memang benar faktor vokal menjadi antara punca. Tapi pada saya, sesuailah dengan peredaran usia. Ini bukan berlaku pada saya sahaja, malah penyanyi lain di seluruh dunia," katanya seperti dipetik Berita Harian.
Amy berkata keputusan tersebut tidak dibuat secara terburu-buru dan dia tidak akan menoleh ke belakang lagi.
"Saya gembira dengan keputusan ini. Muktamad dan saya tidak akan berpatah balik. Saya harap mereka boleh merancang sesuatu untuk masa hadapan Search.”
"Bagaimanapun, saya bukanlah berhenti terus daripada menyanyi. Jika ada undangan yang mahukan saya menyanyi, saya akan pergi," katanya.
Amy membuat pengumuman itu semalam dalam segmen #ArtisDudukDiam yang disiarkan secara langsung oleh Astro Gempak, kira-kira jam 3.30 petang
Ini bukan kali pertama Amy mengundurkan diri daripada Search.
Penyanyi berasal dari Johor yang pernah popular dengan lagu seperti Mentari Merah Di Ufuk Timur itu pernah meninggalkan kumpulan itu pada 1994 bagi memulakan karier solo.
Sementara itu pemain bass, Nasir Daud menafikan alasan vokal tidak semantap dahulu sebagai punca Amy meninggalkan Search.
Tapi apa boleh buat
Nasir berkata, bagi anggota Search yang lain, Amy masih mampu menyanyi.
Menurutnya, dia dan Kid sudah menjangka perkara itu apabila Amy tidak menjawab pesanan atau panggilan telefon sejak empat bulan yang lalu.
“Kami dapat mengagak perkara ini akan terjadi apabila pihak pengurusannya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Amy sudah penat dan ingin fokus kepada perniagaan ketika kami mengumumkan Konsert Apologia Search & Awie yang sepatutnya berlangsung, semalam (kelmarin),” katanya.
Bagaimanapun katanya, anggota Search akur dengan keputusan bapa kepada pelakon Nabila Huda itu.
“Lagipun Amy sudah tiada hati, takkanlah kami hendak berlutut dan menangis minta dia tarik balik keputusan.
“Hidup perlu diteruskan, kami ada tanggungjawab dan komitmen yang perlu dilunaskan. Lebih baik kami fokus kepada Search bersama Datuk Awie” katanya.
Ditanya apakah Search akan menghalang Amy menggunakan nama kumpulan itu untuk kerjaya solonya, Nasir berkata, mereka tidak akan berbuat demikian.
“Jika dia masih mahu menggunakan ‘label’ Search terpulanglah. Kita hargai usaha dan bakti dicurahkan kepada Search selama ini.
“Bakti Amy tidak dapat dinilai, kami akui kehilangan penyanyi yang baik tetapi apa yang boleh buat, Search harus akur,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai