Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Memilih jadi seniman atau peniaga lukisan

ULASAN | Sani Ismail ialah pelukis yang kurang dikenali di negara ini. Karya-karya beliau lebih banyak dipamerkan dan mendapat sambutan yang baik di luar negara.

Sani sudah mengadakan berbelas-belas pameran di Amerika Syarikat, Poland, Latvia dan beberapa negara lain di Eropah.

Kerana karya beliau dilihat ringan oleh pengemar tempatan, maka Sani lebih selesa menghantar karyanya ke luar negara.

"Mungkin masa akan mengajar mereka menghargai karya aku, dan pada masa tu karya aku dah mahal. Padan muka!" kata beliau apabila ditanya mengenai perkara tersebut.

Beliau mula belajar melukis melalui pelukis terkenal, Ahmad Khalid Yusuf dan Yusuf Ghani sekitar 1994 hingga 1998. Sani pada mulanya menumpukan perhatian kepada karya-karya realis.

Beliau melukis potret, bunga-bungaan dan pemandangan alam semula jadi. Karya-karya beliau ketika itu mendapat sambutan amat memberangsangkan.

Namun setelah beberapa lama beliau mengalami kebosanan terhadap karya-karya berbentuk sedemikian. Sani tidak lagi ghairah menghasilkan karya - yang menurut beliau - semakin menjemukan.

Mungkin itu yang dinamakan proses menjadi seniman. Maka ketika dilanda kebosanan tersebut Sani menghadapi apa yang dipanggil 'hadangan kreatif’.

Selama lima tahun beliau meninggalkan terus dunia seni rupa dan tidak berkarya. Pun begitu, semasa dalam rehat tersebut beliau melibatkan diri dalam aktiviti teater.

Kritik kepincangan sosial

Beliau banyak diberi tugas mereka bentuk pentas teater dengan bimbingan teateris terkenal, Ladin Nuawi.

Semasa itu juga Sani perlahan-lahan mula menggali ke dalam diri untuk mencari lembaran baru untuk karyanya. Beliau menjadikan ‘exprimental comic’ sebagai rujukan.

Idea itu datang daripada kegiatan melayari blog-blog yang ketika itu menjadi kegilaan ramai. Hasilnya Sani memulakan blognya sendiri. Beliau mula mempamerkan karya baru di blog tersebut. Dari situ jugalah karya Sani mula mendapat perhatian ramai, terutama dari luar negara.

Sani mula dijemput mengadakan pameran. Dan dari sanalah beliau mengembangkan karya-karyanya. Beliau memilih karya yang berbentuk sinikal. Beliau juga mengkritik kepincangan sosial melalui karya itu.

Apa yang beliau harapkan ialah pengemar seni rupa - atau siapa sahaja yang melihat karya beliaunya - akan menikmati ia bukan saja sebagai penghibur mata, tetapi juga suatu alat yang akan membuka fikiran ke arah yang lebih besar.

Di samping itu, beliau berpendapat karya-karya beliau tidak dipandang oleh pendukung senior karya tempatan kerana mereka semacam sudah membuat keputusan bahawa dunia seni rupa Malaya hanya perlu menyokong seniman yang sudah diyakini menguntungkan.

Justeru karya-karya pelukis muda dan yang melawan arus seperti dihasilkan Sani tidak dilihat sebagai serius.

Kerana itu juga, menurut beliau, sangat perlu ada kumpulan baru yang jadi pendukung seni rupa diwujudkan. Yang terbaik tentulah daripada golongan muda kerana pemikiran mereka masih belum dicemar dengan idea bahawa untuk mula mengumpul mestilah dimulakan dengan karya artis-artis yang sudah terkenal.

Perbuatan membeli karya hanya untuk keuntungan juga hendaknya tidak menjadi tujuan utama seseorang pengumpul, sama ada mereka daripada penggiat yang lama atau baru.

Gabungan kerajaan, swasta

Langkah lebih utama ialah untuk mengangkat seniman negara ini ke mata dunia. Baik yang sudah terkenal mahupun yang masih muda.

Tugas itu - selain terletak di bahu seniman - juga menjadi tanggungjawab pendukung dan juga pemilik galeri. Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranannya.

Mungkin kejayaan K-pop menguasai dunia hiburan dunia pada hari ini boleh dijadikan teladan kepada pihak tertentu.

Apa yang tidak diketahui ramai ialah, K-pop itu berjaya dan diterima ramai - antara lain - ialah kerana ia melibatkan pihak kerajaan dan gergasi perniagaan Korea Selatan.

Sementara itu di Jogjakarta, acara Artjog - yang juga disebut sebagai ‘hari raya seniman’ - turut mendapat sokongan pemerintah yang memberikan dana diperlukan pihak penganjur.

Pihak swasta juga berlumba-lumba menaja acara berkenaan.

Sementara itu di Malaya, dukungan kerajaan dan pihak swasta kepada para seniman masih berada di bawah paras yang diharapkan.

Sebagai seorang seniman, duduk perkara dalam berkaya itu mesti ada dinamiknya. Jika seseorang seniman tidak bosan meghasilkan karya yang sama pada setiap masa, maka orang itu harus menginsafi diri daripada mengaku sebagai seorang seniman.

Ini adalah kerana seseorang yang menjual atau menghasilkan karya hanya mengikut kesukaan atau permintaan pasaran, mereka bukanlah seniman tulen. Mereka ialah peniaga.

"Menjadi peniaga (lukisan) dan seniman adalah dua perkara yang berbeza. Kedua-dua itu tidak salah namun ia harus dipisahkan bagi memurnikan seni itu sendiri," demikian menurut Sani.

Beliau akan mengadakan pameran berjudul Lintas Akal di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur pada Sept ini. Ia merupakan pameran yang mengabungkan pelukis dari Kuala Lumpur dan juga Jogjakarta.

Seramai tujuh pelukis terlibat, termasuk Dr Rosli Zakaria, Dr Verly Veto Vermol, Abdullahjones dan Sani sebagai wakil Malaya, manakala Ali Umar, Agung Pekik dan Januri pula datang dari Indonesia.

Semua pelukis yang dipilih memiliki latar belakang yang berbeza-beza namun berpakat dengan harapan untuk mengubah sedikit persepsi pengemar seni rupa dalam menghargai karya yang tidak mengikut arahan pasaran atau pengemar karya-karya seni tempatan.

Dr Rosli dari UiTM cawangan Lendu, Melaka bertindak sebagai kurator pameran, sementara di pihak Indonesia, pelukis terkenal, Heri Dono, sudi untuk menyumbangkan sebuah artikel untuk katalog yang akan dihasilkan.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair dan pengembara dari masa depan yang terlupa kata laluan kapal angkasanya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.