Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Fran sambut cadangan Dr Dzul kembali berkhidmat lawan Covid-19

Cadangan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang agar bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad kembali mengetuai usaha menghadapi Covid-19 disambut penyanyi Francesca Peter.

Sekurang-kurangnya bagi Francesca, kerajaan sekurang-kurangnya menimbang agar pemimpin PH tertentu, termasuk Dzulkefly, diambil untuk menghadapi ancaman Covid-19 yang kian meningkat.

"Anda semua tahu ada sejumlah pemimpin yang betul-betul bagus sebelum ini. Tolong pertimbang untuk mengambil mereka bagi membantu anda kerana anda akan memerlukan bantuan.

"Dan salah seorangnya ialah Dr Dzulkefly," ciapnya di Twitter hari ini.

 Dalam ciapan itu, Francesca turut menanda Dzulkefly, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali.

Dia turut melampirkan keratan berita berkenaan cadangan Lim yang disuarakan hari ini.

Dalam kenyataannya, Lim berkata dia yakin Majlis Presiden PH akan membuat pertimbangan jika ada permintaan daripada kerajaan sekarang agar Dzulkefly kembali "memimpin peperangan melawan Covid-19".

Pandangan itu di saat ramai pihak mempertikai kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang mendakwa amalan minum air suam dapat mengelakkan jangkitan virus Covid-19.

Nasihat Adham itu disangkal pakar bedah Dr Amalina Bakri, yang berkata ia "tiada bukti", serta pernah ditolak oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia sebelum ini.