Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pelakon Hawaii Five-0 gesa henti sentimen anti-Asia

Pelakon Amerika Syarikat (AS), Daniel Dae Kim yang diuji positif Covid-19 menggesa penduduk dunia supaya menghentikan perasaan xenofobia dan sentimen anti-Asia susulan penularan wabak tersebut yang bermula dari China.

Bagi Kim, xenofobia (benci kepada orang asing) menyaksikan masyarakat Asia di seluruh dunia menjadi mangsa sifat perkauman.

Justeru, pelakon Hawaii Five-0 yang dilahirkan di Korea Selatan itu menyifatkan sikap segelintir pemimpin dunia merujuk Covid-19 sebagai "virus China" adalah sesuatu yang tidak wajar.

"Ya, saya orang Asia dan ya, saya mengidap koronavirus. Tetapi saya tak dijangkiti wabak itu di China sebaliknya di bandar New York, AS.

"Walau apa pun gelaran yang ingin dipanggil oleh pemimpin politik tertentu, saya tidak menganggap tempat asal wabak itu sama pentingnya dengan orang yang sakit dan mati.

"Jika ya, sudah tentu saya menggelarkannya virus New York, tapi tu akan jadi bodoh kan, " katanya dalam sebuah klip rakam video.

Kim juga pada masa sama menggesa agar sikap prejudis dan keganasan kepada masyarakat Asia dihentikan.

"Tolong, tolong hentikan. Memukul orang tua atau gelandangan tu disifatkan sebagai pengecut, menyayat hati dan tidak dapat dimaafkan," katanya.

Difahamkan kenyataan Kim merujuk kepada Presiden AS Donald Trump yang berhadapan kritikan kerana merujuk virus Covid-19 sebagai "the Chinese virus."

Trump berulang kali mempertahankan virus itu adalah "Chinese virus," menegaskan kenyataannya itu,"sama sekali bukan perkauman."

"Ia datang dari China, itulah sebabnya," katanya pada sidang akhbar Rabu lalu.

Jurugambar The Washington Post Jabin Botsford, membuat ciapan gambar nota kenyataan presiden AS menunjukkan frasa "Corona virus" disunting menjadi "Chinese virus."

Terdahulu, Kim berkongsi berita dia mengidap Covid-19 dalam video berdurasi 10 minit itu di platform media sosialnya.

Menurutnya, dia sedang menjalani penggambaran drama televisyen bersiri New Amsterdam di New York untuk beberapa minggu sebelum rancangan itu terpaksa dihentikan kerana ancaman Covid-19.

Katanya, ironinya, dalam naskhah berkenaan, Kim memainkan peranan sebagai doktor yang berjuang melawan wabak tersebut.

Kata Kim, 51, dia mula berasa sakit selepas pulang ke kediamannya dalam penerbangan ke Hawaii dan kemudian mula mengalami sesak dada, sakit badan dan demam.

"Untuk selamat, di rumah, saya kuarantin diri sendiri sejak pulang ke rumah dan menjalani ujian di pusat kemudahan di Honolulu," katanya.

Katanya, meskipun didiagnos positif dan menunjukkan simptom, dia tidak perlu pergi ke hospital kerana sudah beransur pulih malah keluarganya juga diuji negatif untuk virus berkenaan.