Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Search, Awie tiada pilihan tunda konsert Apologia

Tidak mempunyai pilihan, band Search dan Awie terpaksa menunda Konsert Apologia yang dijadual berlangsung 28 Mac ini sebagai mematuhi perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Melalui kenyataan diedarkan, laman Facebook rasmi band itu berkata, acara berkenaan ditangguh demi menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai.

“Oleh kerana penyebaran Covid-19 dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia serta penguatkuasaan lain untuk mengelakkan perhimpunan ramai hingga 30 Jun, kami tidak mempunyai pilihan selain menangguhkan acara yang dijadual berlangsung pada 28 Mac ini di The Bee, Publika.

“Ia dibuat sebagai langkah menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai,” kata kenyataan tersebut.

Apologia bakal menampilkan tiga anggota asal band Search iaitu Nasir Daud (bass), Kid (gitar) dan Din (gitar) manakala khidmat Pae digunakan sebagai sessionist (dram).

Tempat Pae sebelum ini disandang oleh Allahyarham Yazit Ahmad yang meninggal dunia 26 September tahun lalu.

Bagaimanapun, atas alasan-alasan tertentu, vokalis Search, Amy akan digantikan dengan Awie Wings bagi menjayakan konsert tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, tarikh baru akan diumumkan pada masa sesuai selain pada masa sama memaklumkan tiada pengembalian wang akan dibuat kerana konsert tidak dibatalkan.

“Bagi yang telah membeli tiket konsert sama ada dalam talian atau melalui agen tiket bertauliah, tiket anda masih boleh digunakan.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan berlaku. Marilah kita waspada dan menjaga keselamatan diri kita dan orang sekeliling,” menurut kenyataan itu lagi.